RSS Feed
Featuring the latest scandals, gossip, and entertainment news.


Siti bukan lagi di alam fantasi



Oleh Suzan Ahmad; Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

Perkahwinannya meninggalkan banyak kenangan manis yang terus menjadi sebutan semua peminat

MUNGKIN perkahwinan gemilang Datin Siti Nurhaliza Tarudin dan Datuk Khalid Mohd Jiwa tidak sehebat perkahwinan Putera Charles dan Puteri Diana yang diarak keliling kota dengan kereta kuda berhias namun aura merpati dua sejoli itu seakan melengkapi segala-galanya.

3ct2.jpg
ALUNAN suara rakan artis menyerikan persandingan.

Siti bukan lagi di alam fantasi. Impiannya yang mahu mengenakan gaun ala Cinderella mahupun Sleeping Beauty akhirnya termakbul pada 28 Ogos lalu. Malah bukan sehelai gaun diperagakannya malahan dua!

Pada sebelah petang, bertempat di balkoni Tingkat 3, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Siti muncul sambil melambai-lambaikan tangan kepada peminatnya. Biarpun muncul tidak sampai 10 minit, gaun indah rekaan Khoon Hooi bersama Rafflesia The Pearl Centre, tetap mahal dan menawan.

Difahamkan, gaun krim bernama Dewi Mustika itu berharga lebih RM300,000 kerana ia dihiasi dengan 8,888 butir mutiara Rafflesia. Nama Dewi Mustika itu diberikan Pengarang Bintang Popular, Roslen Fadzil, atas permintaan Khoon Hooi dan pemilik butik Rafflesia, Mr Sin Chean Loong yang sebelum itu puas mencari nama yang sesuai.

3ct.jpg
CAHAYA Cinta meresap
jauh ke dalam jiwa.

Kemudian pada sebelah malam, ketika acara memotong kek setinggi tujuh tingkat, Siti mengenakan satu lagi gaun pengantin yang hebat. Ia direka Michael Ong dengan menggabungkan rona putih dan merah jambu. Gaun daripada renda dan sutera Thai itu dikatakan berharga RM35,000 dan diperindahkan lagi dengan hiasan kristal Swarovski.

Selain baju moden, busana kemelayuan tidak pernah dilupakan Siti dan Khalid. Selepas menemui peminat petang itu, Siti terus menyalin kebaya moden, Badarsila, sentuhan Radzuan Radziwill untuk ke majlis resepsi persandingan dan makan beradab.

Ketika berarak masuk ke dewan dengan iringan tiupan seruling melodi Bukan Cinta Biasa, ramai tetamu berbisik, Siti kelihatan paling berseri umpama puteri diraja. Mereka duduk di pelamin yang anggun, Mahligai Asmara, cuma sofa ala Roman yang dipilih agak rendah terutama untuk Khalid.

Seperti yang dirancangkan, konsep dalam bersanding dalam taman ditonjolkan dalam dewan yang memanjang itu. Bunga-bungaan putih bersama dedaun menghiasi setiap sudut, dari meja tetamu hingga ke bumbung. Kombinasi bunga hidup serta tiruan dirangkumkan dengan berseni dan kosnya dianggarkan mencecah RM200,000.

Sebaik saja pasangan mempelai duduk di pelamin, Ustaz Ismail Noor memulakan majlis dengan bacaan doa dan lagu berselawat. Suasana terharu dapat dirasakan ketika ini.

Kemudian raut wajah Siti bertukar menjadi girang namun Khalid pula seakan tidak dapat menyembunyikan rasa gementarnya dan asyik tertunduk malu.

Acara merenjis dan tepung tawar mendapat restu Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan isteri, Sultanah Nur Zahirah; Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Barieng Mohammed Salahuddin; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tidak ketinggalan merenjis pengantin ialah ibu Khalid, Siti Zainab Hanafi serta ayah dan ibu Siti, Tarudin Ismail dan Siti Salmah Bachik.

Sewaktu makan beradab, tetamu dihiburkan dengan persembahan kanak-kanak dari Pak Ngah Productions menerusi lagu Kurik Kundi. Kemudian barulah rakan artis tampil menyanyikan lagu masing-masing.

Azlina Aziz membuka tirai dengan Can’t Help Fallin’ In Love, diikuti Ziana Zain (Syurga Di Hati Kita), Datuk M Daud Kilau (Anak Seni), Kris Dayanti (Mencintaimu), Kat Mentor (Pastikan) dan Nash (Permata).

Uji Rashid kemudian berduet dengan Nizal Mohamad menerusi Semakin Hari Semakin Sayang, Ezlynn (Bukan Cinta Biasa), Nora (Menyemai Cinta Bersamamu & Hanya Satu), VE & Thoo Phat (Most Beautiful Girl), Ning Baizura (Percayalah). Hetty Koes Endang menutup tirai dengan persembahan paling bertenaga, When You Tell Me That You Love Me dan mendapat tepukan bergemuruh.

Selain acara memotong kek, pasangan mempelai turut mengundang ayah dan bu Siti untuk memotong pulut kuning bersempena 38 tahun perkahwinan mereka. Paling menarik, pengantin perempuan tidak ketinggalan menyanyikan lagu terbarunya, Cahaya Cinta ciptaan sendiri ditujukan khas buat suami tersayang. Semoga berbahagia!

Corat-coret:

Tukang pelamin (pelamin khas di luar dewan), Kem Salleh dari Kapas Couture, merungut kerana stand bunganya habis dirempuh media luar negara, semata-mata mencuri peluang menemu bual Siti selepas sesi fotografi dalam gaun Dewi Mustika rekaan Khoon Hooi!

Media yang jenuh menanti Siti muncul melambai peminat di balkoni Tingkat 3, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, terkejut kerana muncul sekumpulan Polis dari Unit Pengesan Bom yang datang membuat pemeriksaan.

Ketika tetamu mula sibuk menikmati hidangan, jurufoto di luar dewan pula menyerbu pihak penganjur untuk mendapatkan pas masuk menyebabkan berlakunya kekecohan. Ia memaksa campur tangan PRO TV3, Mohamad. Akhirnya tiada siapapun yang dibenarkan masuk!

Pendaftaran masuk menggunakan sistem komputer tidak berjalan lancar menyebabkan tetamu VIP dan selebriti terpaksa menunggu lama dan berbaris panjang. Jalan penyelesaiannya, tempat duduk akhirnya bebas!

Acara hiburan yang berlangsung malam itu agak meleret sehingga meresahkan tetamu. Namun, persembahan spontan Hetty Koes Endang tanpa sebarang latihan yang menyanyikan When You Tell Me That You Love Me menjadi penyelamat selain persembahan Nora, Krisdayanti dan Ning Baizura.

Gurauan Hetty Koes Endang yang berkata, dia dan Siti berkongsi selera yang sama iaitu jejaka berkumis mengundang hilai tawa penonton!

Setiap tetamu yang hadir dibekalkan cenderahati berupa sebuah beg kertas berwarna kelabu yang tertera huruf S dan K. Isinya adalah CD terbaru Siti dan coklat sebagai tanda kenangan. Bunga telur hanyalah terhad kepada mereka yang merenjis pengantin.

Seorang peminat wanita dari Singapura terlepas daripada kawalan keselamatan apabila berpeluang naik ke pelamin dan menyampaikan hadiah kepada Siti, sambil bertalu-talu menciumnya. Kelas mak cik!

Anak ketiga Datuk Khalid, Mohd Asyraf, 14, yang peramah sentiasa menjadi tumpuan tetamu. Ramai pihak berebut-rebut merakamkan wajahnya yang comel itu.

Majlis resepsi untuk Siti dan Khalid yang akan dianjurkan di Jakarta, Indonesia pada 8 dan 10 September ini masih belum diputuskan. Bagaimanapun Siti akan ke Jakarta pada 8 dan 9 September untuk menjayakan rakaman sebuah program TV di sana.

Dari segi wang hantaran, artis tempatan yang menerima jumlah paling tinggi adalah Juliana Banos yang berkahwin dengan Pengarah Urusan Mutiara Motor Sdn Bhd, Mokhtar Ahmad pada 16 Disember lalu iaitu sebanyak RM77,888.77. Jumlah itu hampir dua setengah kali ganda wang hantaran RM30,000 yang diterima Siti. Jumlah wang hantaran Siti juga kurang RM3,333.33 daripada jumlah hantaran Erra Fazira ketika berkahwin dengan Yusry Abdul Halim pada 2003. Namun yang pasti, wang bukanlah segala-galanya!

Leave a Reply