Oleh Rosli Abdul Jalil, Zulhusni Abdul Hamid dan Farihad Shala
6,000 peminat hadir persandingan penyanyi tersohor
KUALA LIPIS: Siri episod persandingan penyanyi tersohor, Datin Siti Nurhaliza dengan Datuk Khalid Mohd Jiwa tiba di kemuncaknya malam tadi apabila kedua mempelai meraikan warga Lipis pada satu majlis gilang-gemilang di Dataran Lipis, di sini.
Jika minggu lalu rakyat Malaysia terpaku di depan kaca televisyen menyaksikan siaran langsung acara `perkahwinan dekad ini’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), kenduri berkonsep tradisional di kampung halaman Siti pula tidak kurang hebatnya.
Dataran Lipis mungkin tidak sehebat dewan KLCC di ibu negara dengan kehadiran tetamu diraja, orang kenamaan dan personaliti istimewa dalam industri hiburan.
Bagaimanapun, majlis di bandar Kuala Lipis mempunyai makna tersendiri dengan nilai sentimentalnya bukan hanya kepada Siti, malah kepada peminatnya kerana di sinilah tempat bermulanya penyanyi yang menjadi pujaan jutaan peminat di Nusantara ini.
Malam tadi, Siti Nurhaliza disambut meriah warga Kuala Lipis yang beramai-ramai membanjiri Dataran Lipis untuk melihat sendiri penyanyi pujaan ramai bersama suaminya, Datuk K.
Dianggarkan lebih 6,000 orang mengunjungi Dataran Lipis dengan sesetengahnya berada di Dataran Lipis seawal jam 6.30 petang.
Kira-kira jam 9 malam, Siti yang mengenakan kebaya moden berwarna merah jambu cerah rekaan Anne Avante, pereka fesyen terkenal Indonesia bersama Datuk K yang berbaju songket berwarna sedondon.
Sebaik tiba di Dataran Lipis jam 8.45 malam, pasangan itu dibawa ke khemah utama, sambil diiringi 50 gadis membawa bunga manggar.
Selain ibu bapa Siti, Taruddin Ismail dan Siti Salmah Bachik serta ahli keluarga terdekat Datuk K, antara tetamu yang hadir termasuklah Cik Puan Muda Julita Aishah Abdul Latif dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan negeri, Datuk Soffi Abdul Razak.
Sambil menjamu selera, tetamu dihiburkan dengan dengan persembahan lagu dan tarian tradisional oleh kumpulan budaya yang diketuai Pak Ngah.
Siti turut menghampakan tetamu apabila beliau mempersembahkan dua lagu Dealova dan Joget Pahang bagi mengubat rindu peminatnya.
Majlis kenduri di Dataran Lipis adalah acara kemuncak perkahwinan Siti-Datuk K selepas hampir sebulan menjadi bualan peminat di seluruh negara.
Selepas ini, pasangan itu merancang berbulan madu selama seminggu di destinasi luar negara yang dirahsiakan.
Petang semalam pada satu majlis jamuan teh, Siti meminta media dan peminat tidak lagi mensensasikan kisah diri dan keluarganya kerana mereka tidak mahu lagi menjadi tumpuan.
On 3rd September2006