Persandingan Siti – Datuk K menghampar kemewahan
Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
IMPIAN besar Siti Nurhaliza untuk tampil bagaikan puteri raja dalam dongeng Cinderella ketika persandingan gilang gemilang akhirnya tercapai.
Siti adalah Cinderella itu dan putera raja kekasih hatinya ialah Datuk Khalid Jiwa, lelaki yang sudah sah menjadi suaminya semenjak 21 Ogos lalu.
Isnin lalu, pasangan yang sudah berikrar untuk saling mencintai dan mengasihi ini disandingkan dalam majlis gilang gemilang, luar biasa sekali meriahnya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Bukan hanya dekorasi dewan yang bertukar menjadi taman indah, tetapi juga ribuan tetamu kehormat yang hadir memberikan sokongan sambil mendoakan kebahagiaan pasangan pengantin buat selama-lamanya.
Majlis persandingan yang digambarkan serba mewah, serba glamor dan serba berseri-seri ini adalah gambaran sebenar keinginan dan kehendak pasangan pengantin untuk majlis bersejarah mereka ini.
Majlis yang bakal menjadi sejarah bagi pasangan ini pada masa depan apatah lagi apabila ia disiarkan secara langsung lebih dua jam oleh TV3.
Meskipun pada awalnya pengantin lebih mesra dengan ungkapan `sederhana tetapi meriah’ bila bercakap tentang majlis ini, ia sama sekali jauh dari yang dirancangkan. Itulah kata orang, tuahnya badan.
Dek kerana terlalu banyak pihak yang bermurah hati untuk menaja, ikut serta sebagai penyumbang acara, majlis ini berjaya direalisasikan dengan kos yang sederhana.
Itulah yang digambarkan oleh Datuk K sendiri dalam satu sidang akhbar. Meskipun kata pasangan pengantin ini mereka tidak banyak `berhabis’ untuk majlis ini, ia masih lagi meriah dan nampak hebat sungguh.
Bermula daripada langkah pertama kaki tetamu bersatu dengan keindahan dewan, kami bagaikan dibawa ke taman yang semerbak harum mewangi.
Tetamu kehormat pula ialah pembesar-pembesar negeri termasuk Sultan Pahang dan Sultan Terengganu.
Wajah-wajah insan seni yang popular dan ternama juga tidak terkecuali. Masing-masing mengambil peluang menyumbangkan suara merdu sambil mendoakan kebahagiaan pengantin.
Antaranya ialah Azlina Aziz, Ziana Zain, Ning Baizura, Nash,Krisdayanti dan Uji Rashid.
Tetapi persembahan istimewa penyanyi seberang, Hetty Koes Endang dan tempatan, Nora paling mengesankan.
Hetty memilih When You Tell Me That You Love Me sementara Nora dengan Hanya Satu yang menyemarakkan lagi perasaan kasih sayang di malam itu.
Tetamu bagaikan menyulam rasa bahagia yang sedang dinikmati oleh pasangan pengantin ini melalui kedua-dua lagu indah ini.
Sesuatu yang indah juga apabila Siti buat pertama kalinya menyanyikan lagu yang direka khas buat suami tersayang di pentas persandingannya.
Lagu ‘’Cahaya Cinta’’ ini adalah luahan hati dan perasaan cinta Siti kepada Datuk K. Melalui bait-bait lirik sederhana tetapi penuh dengan kejujuran ini, kita dapat melihat bagaimana gembiranya hati Siti dengan perkahwinan itu.
Kata Siti,: “Sayangilah aku, peluklah aku,’’ dan dihayati oleh Khalid dengan sepenuh perasaan di bawah pentas.
Apabila cinta yang dikejar berada di genggaman, tentunya disambut dengan rasa kemenangan. Berbahagialah aduhai Siti dan putera idamannya. Buang segala duka dan nestapa yang berlingkar, kalaupun ada. Bina cinta yang manis bersama-berdua.
Yang Anda Tak Tahu
1- Anak lelaki Datuk K, Muhammad Asyraff dikatakan mengalirkan air mata pada majlis persandingan ini. Tak tahulah kenapa air matanya mengalir kerana suka ataupun sebaliknya. Apabila ditanya, kata Asyraff “sebak sikit je.â€Â
2- Emak pengantin perempuan, Siti Salmah masih dengan sikap malu-malu tetapi amat murah dengan senyuman apabila turut diraikan di pentas persandingan sempena ulang tahun perkahwinan mereka. Sementara bapa Siti, Tarudin Ismail sukar sekali melemparkan senyuman. Ada yang kata “Mahalnya harga senyuman Pak Taruddin.” Dah memang bekas polis tentulah serius memanjang.
3- Tak sampai seribu peminat yang datang menyaksikan lambaian Siti Nurhaliza dalam sesi Lambaian Cinta dari balkoni aras tiga, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) beberapa jam sebelum acara persandingannya. Mungkin masanya kurang sesuai. Dan difahamkan yang meramaikan acara ini ialah warga Indonesia yang juga pengagum Siti.
4- Sebaik sahaja pengantin meninggalkan dewan persandingan, orang ramai berebut-rebut hendak bergambar di atas pelamin yang sama didahului oleh Pengarang URTV, Rosli Manah. Masing-masing juga tidak melepaskan peluang memetik tangkai bunga-bungaan yang menghiasi pentas sebagai cenderahati kenang-kenangan.
5- Majlis ini jadi tempat `melaram’ bukan sahaja artis yang datang, tetapi juga wartawan. Ada wartawan yang pakai baju kelip kelap mengalahkan artis. Ada wartawan yang pakai `bow tie’ dipanggil rakan-rakannya dan juga artis sebagai “waiter’’.
6- Krisdayanti jadi tumpuan hebat. Bukan saja peminat tetapi artis lain yang hadir sampaikan tak sempat hendak menjamah makanan yang terhidang di depan mata.
7- Hetty Koes Endang yang menyanyikan lagu When You Tell Me That You Love Me diminta menyanyikan sebuah lagi lagu oleh tetamu.â€ÂOne more’’ pekik peminat, tetapi Hetty faham itu majlis persandingan orang lain, jadi hanya satu lagu sajalah.