GILANG-GEMILANG



Oleh
Saodah Ismail

MAJLIS persandingan Datin Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Mohamad Jiwa yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) kelmarin merupakan acara hebat yang paling gemilang dalam industri hiburan Malaysia.

Ia mencatatkan sejarah sebagai event of the year yang penuh glamor dan sukar dilupakan oleh sebilangan besar peminat muzik serta artis tanah air apabila penyanyi terkenal itu mengakhiri majlis persandingannya dengan mendedikasikan sebuah lagu untuk suaminya yang berjudul Cahaya Cinta.

Keadaan di luar dewan utama KLCC di mana majlis persandingan berlangsung pada mulanya kucar-kacir sedikit apabila ramai tetamu yang masih belum dapat memasuki dewan dan terpaksa berbaris panjang sehingga 9 malam.

Ini berikutan terlalu ramai yang datang mulai 8 malam, menyebabkan pihak KLCC terpaksa akhirnya membenarkan tetamu seramai 2,500 orang itu masuk dan duduk di mana-mana saja, apabila pintu dewan semakin sesak menjelang 9 malam.

Tetamu yang hadir bukan saja daripada kalangan keluarga kedua-dua pihak, bahkan media dan para kenamaan termasuk tetamu diraja antaranya Sultan Ahmad Shah, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Nur Zahirah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Yang diPertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob, dan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut hadir ialah rakan-rakan artis termasuk seniman dan seniwati veteran antaranya Datuk Jins Shamsudin; Datuk Jamil Sulong dan isteri Datin Rosnani Jamil; Datuk Yusuf Haslam dan isteri; Anita Sarawak dan suami; Aishah; Cef Wan; serta Linda Rafar.

Majlis diserikan dengan persembahan daripada senarai artis pilihan kedua-dua mempelai iaitu Azlina Aziz, Kris Dayanti, M. Daud Kilau, Ziana Zain, Ezlynn, Ning Baizura, Nash, Too Phat, dan Uji Rashid.

Turut ditampilkan juga alunan tradisional gamelan berserta 30 penari daripada kumpulan Tepak Sirih yang diterbangkan khas dari Singapura.

Selain artis, kesemua lagu dipilih oleh Siti dan suaminya yang merupakan lagu-lagu kegemaran mereka.

Namun, persembahan yang terbaik bukan saja dari Kris Dayanti yang menyampaikan lagu popularnya, Mencintaimu, bahkan dari penyanyi mapan, Hetty Koes Endang, yang sekalipun hadir sebagai tetamu, sempat tampil secara spontan untuk meraikan ‘anakanda Siti’ dengan persembahannya yang memukau apabila mendendangkan lagu cinta, When You Tell Me That You Love Me.

Majlis persandingan itu merupakan kemuncak acara perkahwinan penyanyi nombor satu Malaysia ini yang dimulakan dengan lagu instrumental, Percayalah, yang turut menyaksikan kedua-dua pengantin tampil di pentas melalui arah berasingan – Siti dari kiri pentas dan suaminya dari bahagian kanan pentas.

Sebaik sahaja mempelai duduk atas pelamin, selawat ke atas Nabi dibacakan oleh Ustaz Mohd Nor dan diikuti dengan majlis menepung tawar didahului oleh Sultan Pahang dan diikuti oleh Sultan Terengganu dan isteri serta ahli keluarga Siti dan Datuk K.

Pasangan pengantin mengenakan pakaian songket sutera klasik berwarna krim hasil rekaan Razwan Radwil.

Majlis diakhiri dengan acara memotong kek tujuh tingkat yang dinamakan Indah Percintaan dengan Siti mengenakan gaun ciptaan Michael Ong.

Kek seberat 100 kilogram itu diselaputi emas 22 karat serta dihiasai 1,200 bunga ros.

Selepas memotong kek, Siti menyampaikan lagu khas yang ditujukan kepada suaminya yang berjudul Cahaya Cinta dan dinyanyikan buat pertama kali pada malam itu.

Terdahulu, pada satu acara berasingan di sebelah petang, sebagai memenuhi janjinya untuk menemui peminat, Siti muncul di serambi tingkat tiga KLCC.

Acara ini diatur sekitar 5 petang apabila Siti tampil untuk melambai kepada ratusan peminatnya yang berada di kawasan KLCC menghadap hotel Mandarin Oriental.

Acara itu khas untuk peminat yang pada mulanya dirancangkan dengan Siti menaiki kereta kuda di sekitar kawasan itu. Bagaimanapun atas sebab-sebab keselamatan dan cuaca akhirnya diputuskan Siti muncul sendirian di serambi dengan memakai pakaian ciptaan Hoon Hooi yang dinamakan Dewi Mustika.

Ia merupakan gaun berwarna putih krim, warna tema perkahwinan Siti yang dihiasi sebanyak 8,888 mutiara Rafflesia.

Ketika muncul di serambi yang terletak di bahagian atas dewan utama, Siti menitiskan air mata kerana sedih tidak dapat dekat dengan peminat-peminatnya sebagaimana yang dirancangkan.

Ketika ditemui wartawan sejurus selepas acara itu yang dibuat selama setengah jam, Siti berkata beliau menangis kerana sedih peminatnya hanya melihat beliau dari jauh.

‘Siti sedih tidak dapat dekat dengan mereka (peminat) pada hari bahagia Siti. Siti harap peminat dapat datang ke majlis di Kuala Lipis pada 3 September kerana Siti akan melayan mereka,’ katanya.

Bagi memenuhi keperluan orang ramai, majlis kenduri di Kuala Lipis pada 3 September ini nanti menyediakan 16 ekor lembu untuk disembelih dengan enam kumpulan tukang masak menyediakan lauk pauknya.

On 30th August2006

  Comments: 0 Read more


Leave a Reply