Skip to content

August 29, 2006

Siti jemput peminat ke Kuala Lipis



29-08-2006 08:25:53 PM
Abang kesayangan Datin Siti Nurhaliza Tarudin, Ayie boleh menarik nafas lega sekarang kerana hampir semua urusan perkahwinan adiknya sudahpun selamat diuruskan.

Hanya tinggal satu lagi persandingan yang akan diadakan di Dataran Kuala Lipis, Pahang jam 8 malam pada 3 September ini di mana difahamkan sebanyak 16 ekor lembu akan ditumbangkan dan akan dikerjakan oleh enam kumpulan terdiri dari lebih 50 orang, yang akan dikenali sebagai ‘orang pangkal.’.

Ayie bagi pihak keluarga Siti mengalu-alukan semua peminat Siti untuk datang beramai-ramai memeriahkan persandingan adiknya di Kuala Lipis nanti.

“Alhamdulillah semuanya dah selamat,” kata Ayie ketika ditemui sejurus selepas upacara persandingan gilang gemilang Siti –Datuk K semalam.

siti-balkoni.jpg
Siti amat berharap peminatnya akan datang beramai-ramai ke majlisnya di Kuala Lipis (Foto The Star)

Apakah panggilan Datuk K kepada Ayie yang merupakan abang sulung kepada Siti?

“Panggil Ayie je lah….biasalah panggilan tu lebih mesra,” kata Ayie yang berusia di awal 30an. Menurut Ayie lagi, apa yang penting ialah keikhlasan dalam perhubungan.

Bila ditanya bagaiman perasaannya sekarang setelah ‘melepaskan’ Siti yang kini bergelas isteri orang?

“Perasaan yang bermacam-macam. Sedih pun ada, gembira pun ada. Sekarang ni dah ada orang menjaga Siti,” kata Ayie yang kehilangan 15 paun sejak kebelakangan ini.

Menurut Ayie, terlalu awal untuk menjangkakan mengenai perancangan karier Siti sekarang tapi “mungkin juga Ayie nak nyanyi balik.”

Sementara anak ketiga Datuk Khalid Mohd Jiwa, Mohd Asyraf, 14, kelihatan serba salah untuk memberi komen tentang perasaannya apabila melihat persandingan ayah dan ibu tirinya

“Maaf, saya tidak boleh cakap dengan wartawan….,” kata Asyraf ketika ditemui diruang legar lobi Pusat Konvension Kuala Lumpur.

Asyraf, yang ditemani beberapa rakan baiknya, walau bagaimanapun berkata dia tidak suka membaca cerita negatif tentang bapanya.

“Banyak benda yang tidak betul ditulis oleh akhbar. Saya kesian dengan bapa,” ujar Asyraf yang merupakan satu-satunya anak Datuk Khalid yang hadir di perkahwinan bapanya bersama Siti Nurhaliza.

Ketika ditanya mengenai panggilan terhadap ibu barunya itu, Asyraf berkata dia masih menggunakan panggilan Kak Siti.

siti-datuk-k.jpg
Pasangan bahagia Siti – Datuk K (Foto The Star)

Ibu Siti pula, Siti Salmah Bachik berharap perkahwinan anaknya dengan usahawan Datuk Khalid akan melenyapkan segala prasangka buruk dan cakap-cakap negatif tentang mereka. Salmah juga berharap semua orang akan mendoakan kebahagiaan pasangan kedua pengantin baru itu.

“Alhamdulillah, semuanya sudah selamat. Sebagai ibu, saya gembira melihat kebahagiaan Siti dan berharap perkahwinan mereka akan menamatkan semua spekulasi terhadap mereka,” katanya.

Bagi bapa Siti pula, Tarudin Ismail lebih senang besikap berdiam diri tanpa memberi sebarang ulasan.

Namun, Tarudin jelas gembira melihat kebahagiaan kedua mempelai di atas pelamin. Beliau kelihatan mendakap menantu dan anak kesayangan mereka.

Adik Siti pula, Saerah bagaikan memendam satu perasaan yang bercampur-baur.

“Entahlah, saya rasa kami dah tak serapat dulu lagi. Ye lah sebab dia dah kahwin jadi masa untuk bersama agak terhad,” kata Saerah yang kelihatan agak sedih.

Bagi Saerah, kakaknya cukup perihatin dan amat mengambil berat hal keluarga.
“Saya harap Kak Siti tidak akan berubah selepas berkahwin. Saya doakan mereka bahagia,” kata Saerah yang bercita-cita menjadi penyanyi terkenal.

Walau apapun reaksi yang diberikan, Siti sendiri ternyata amat teruja dengan kehidupan barunya.

“Datuk K menjaga saya dengan baik. Banyak perkara lagi yang perlu saya belajar mengenai kehidupan rumahtangga,” jelas Siti.

Read more from Star

Leave a comment

required
required

Note: HTML is allowed. Your email address will never be published.

Subscribe to comments