Skip to content

August 29, 2006

Majlis Siti atasi program Mawi… Ina



Oleh Wan Hazmir Bakar dan Zul Husni Abdul Hamid

KUALA LUMPUR: Majlis persandingan Datin Siti Nurhaliza Tarudin dan Datuk Khalid Mohamad Jiwa yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 malam kelmarin, disaksikan 6.3 juta penonton, lebih 1.6 juta mengatasi program bicara eksklusif Asmawi Ani dan bekas tunangnya, Nor Diana Md Naim.

Program Mawi… Ina yang juga disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro, menarik 4.7 juta.

Jumlah ini berdasarkan ?rating semalam? oleh AGB Nielsen Media Research, sebuah badan bebas yang menyediakan perkhidmatan pengumpulan jumlah penonton sesebuah program televisyen.

Pengarah Urusan AGB Nielsen, Danyal Abdul Malik, berkata perangkaan itu membabitkan jumlah penonton yang melihat program itu sekurang-kurangnya 15 minit.

Selain itu, siaran langsung majlis perkahwinan Siti Nurhaliza dan Khalid atau Datuk K mengumpul 70 peratus ?rating semalam? daripada peratusan penonton pada waktu terbabit.

Program Mawi… Ina disiarkan dari Auditorium Perbadanan Putrajaya, manakala majlis persandingan pasangan sensasi itu diadakan di Dewan Pameran 1 & 2, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Pengurus Besar Komunikasi Korporat Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Eliza Mohamed menerusi kenyataan berkata TV3 mementingkan pengisian berkualiti untuk menambat perhatian penonton.

Sementara itu, Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin mendakwa program Mawi… Ina berjaya meraih jumlah penonton yang ramai.

“Rating saya belum dapat lagi tetapi menurut ‘rating’ di luar dan sentimen saya sendiri, saya percaya malam tadi Ahli Dewan sebanyak 99.9 peratus menonton RTM1,” katanya menjawab soalan tambahan Hashim Jahaya (BN-Kuala Kedah) pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Hashim bertanya mengenai kewajaran rancangan itu disiar serentak dengan persandingan Siti Nurhaliza dan Khalid serta rating program terbabit.

Menjawab soalan Hashim, Zainuddin berkata, RTM tidak lupa menyelitkan mesej kemerdekaan dan pengorbanan wira negara ketika rancangan menemukan juara Akademi Fantasia 3 (AF3) itu dan bekas tunangnya.

Read more from Berita Harian

Leave a comment

required
required

Note: HTML is allowed. Your email address will never be published.

Subscribe to comments