Siti Nurhaliza janji tunai pesanan ayah



KUALA LUMPUR 21 Ogos – Penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza Tarudin, 27, yang selamat diijab kabul dengan ahli perniagaan, Datuk Khalid Mohd. Jiwa, 47, hari ini, akan berusaha menunaikan amanat ayahnya, Tarudin Ismail.

Menurut Siti Nurhaliza, hari-hari menjelang perkahwinan, ayahnya kerap memberi nasihat dan amanat dalam melayari rumah tangga untuk memastikan beliau tidak melupakan keluarga walaupun telah dimiliki.

‘‘Kata ayah, Siti harus menjaga maruah sebagai isteri, jaga rumah tangga dengan baik, taat kepada suami dan jangan lupakan keluarga.

‘‘Siti tahu, ayah agak sayu dengan pernikahan ini dan berjanji akan menunaikan amanat yang diberi,’’ katanya pada sidang akhbar selepas majlis pertunangan dan pernikahannya di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Apabila ditanya mengenai sikap ayahnya yang banyak mendiamkan diri ketika ditanya mengenai pernikahan tersebut, beliau menjawab, ayahnya seorang yang sensitif.

‘‘Ayah Siti agak emosional berbanding dengan ibu Siti.

‘‘Walaupun dia seorang anggota polis dan nampak tegas tapi ayah Siti seorang yang paling sensitif.

‘‘Siti faham kerana telah biasa dengan ayah terutama dalam hal berkaitan dengan hari bersejarah, hari penting, seperti hari raya, kami bermaafan dan bersalaman, ayahlah yang pertama akan berasa sayu, inikan pula hal perkahwinan anaknya,’’ katanya.

Menurut Siti Nurhaliza, beliau tidak mahu dipanggil dengan gelaran Datin walaupun telah bersuamikan seorang Datuk.

‘‘Kalau boleh panggillah seperti mana anda kenal Siti dulu iaitu Siti sahaja kecuali kalau diperlukan di majlis protokol, Siti tidak boleh menolak,’’ katanya.

Beliau juga tidak menolak sekiranya dikurniakan anak pada awal perkahwinan.

‘‘Sekiranya ada rezeki awal, Siti tidak menolak kerana Siti suka dengan kanak-kanak dan usia Siti telah sesuai untuk menjadi seorang ibu. Siti menerimanya dengan hati gembira,’’ jelasnya dengan wajah seri seorang pengantin.

Apabila ditanya mengenai selera Khalid pula, Siti Nurhaliza memberitahu, masakan kampung, makanan pedas dan sambal belacan menjadi pilihan.

‘‘Sebenarnya, Siti masih belum berkesempatan menyediakan bermacam-macam lauk kepada Datuk Khalid, cuma Siti pernah memasak gulai tempoyak untuknya dan beliau menggemarinya,’’ katanya.

Beliau memberitahu, Datuk Khalid memahami perjalanan seninya dan mengizinkan beliau untuk meneruskannya.

‘‘Siti juga akan mengurangkan membuat persembahan, jika sebelumnya setiap hari, tapi setelah bergelar isteri, mungkin dua hari sahaja dalam seminggu,’’ katanya.

Ditanya tempat berbulan madu, beliau menjawab: ‘‘Siti belum memutuskannya kerana masih memikirkan tempat mana akan kami tuju kerana tumpuan sekarang hanya kepada majlis perkahwinan dan persandingan.’’

Beliau turut meminta supaya fitnah dan kata-kata negatif memburukkan dirinya dan Khalid dihentikan.

‘‘Memang susah nak hentikan seratus peratus. Cuma Siti harap segala fitnah sudah tidak ada kerana Siti telah bergelar isteri, kalau andaian dan kata-kata orang, Siti tidak boleh halang, cuma Siti berharap tidak keterlaluan sangat,’’ katanya.

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply