Doakan yang terbaik buat Siti
Oleh Nor Akmar Samudin
KEPUTUSAN Siti Nurhaliza Tarudin, 27, mengakhiri zaman solonya dengan usahawan duda anak empat, Datuk Mohamad Khalid Jiwa (Datuk K), 47, menimbulkan pelbagai reaksi.
Walau apapun tanggapan peminat terhadap pilihan penyanyi nombor satu negara itu, dia tetap akur kepada kata hati dan ketentuan Yang Maha Esa.
Semalam, bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, dengan sekali lafaz, Siti selamat diijab kabulkan dengan lelaki pilihan hatinya itu. Seperti yang dijanjikan sebuah majlis sederhana tetapi meriah itu turut diraikan ramai tetamu kenamaan dan rakan artis.
Antara yang hadir, pelakon veteran, Rubiah Suparman, penerbit filem dan penulis lirik, Habsah Hassan, guru vokal, Juliza Adzlizan Abdul Ghaffar dan pengarah filem, Ahmad Idham Nadzri. Turut kelihatan, Sharifah Haslinda atau Lynn dan bekas selebriti TV3, Aziah Jasmin Azizul.
Menurut Rubiah, doakan saja kebahagiaan Siti yang kini sudah pun menjadi isteri Khalid.
?Ia pilihan Siti sendiri, jadi doakan yang terbaik untuknya. Kita perlu menghormati pilihannya kerana yang tahu buruk baik keputusan yang dibuat hanya Siti.
?Kalau peminat benar-benar sayangkan Siti, doakan jodoh mereka berkekalan sehingga ke akhir hayat. Peminat mahu marah pun sampai bila.
?Apa pun orang cakap, dia sendiri menjalani kehidupan yang dipilihnya. Peminat jangan terlalu fanatik, manusia tiada yang sempurna. Saya sayangkan Siti dan mudah-mudahan Siti berbahagia dan tabah menghadapi cabaran hidup selepas ini,? katanya.
Habsah pula berkata, sesiapa pun tidak perlu terkilan dengan jodoh Siti kerana ia ketentuan Allah.
?Walaupun barangkali ada yang berasa kurang senang dengan pilihan Siti, perjanjian antara mereka sudah pun termeterai dan kini menjadi pasangan suami isteri yang sah.
?Kita perlu terima qada dan qadar Allah. Kita hanya manusia biasa, begitu juga dengan Siti dan Datuk Khalid. Semua orang sangka sepatutnya begitu dan begini tetapi segalanya terpulang kepada Siti kerana dia berhak menentukan masa depannya.
?Sudah jodoh mereka, doakan yang terbaik buat mereka. Saya juga berharap mana-mana yang tidak kena sebelum ini, perbaikilah dan eratkan kembali silaturahim,? katanya.
Sementara itu Ahmad Idham berkata, dia gembira kerana Siti menjadi isteri rakannya sendiri.
?Saya mengenali Datuk Khalid sejak 2004 iaitu ketika saya mahu menubuhkan syarikat produksi, Excellent Pictures. Walaupun projek filem yang kita bincangkan itu tidak menjadi, ia menjadi titik perkenalan antara Siti dan Datuk Khalid.
?Kita tak boleh tahu kehendak Tuhan kerana Dia boleh melakukan pelbagai cara untuk menemukan dua insan. Datuk Khalid suka membantu, ada ketika kelakar dan bijak mengambil hati orang.
?Sehingga kini saya masih bekerjasama dengan syarikatnya menerbitkan drama. Bagaimanapun sekarang saya banyak bekerjasama dengan kakaknya, Zaiton.
?Drama pertama kami telenovela Mengejar Pelangi (40 episod) untuk siaran RTM. Saya juga berada sebumbung di bawah konsortium Datuk Khalid, T-Sky Network.
?Saya doakan mereka berbahagia sehingga ke akhir hayat dan mempunyai masa berkualiti bersama-sama. Maklum saja, kedua-duanya sibuk dengan kerjaya masing-masing,? katanya.
Juliza Adzlizan berharap peminat akur dengan pilihan Siti kerana Tuhan itu Maha Adil terhadap hamba-Nya.
?Barangkali pada pandangan mata kasar kita, Datuk Khalid tidak sesuai dengan Siti dari segi usia namun apa juga kekurangan dan kelebihan suaminya, hanya Siti yang tahu.
?Suami isteri saling melengkapi hidup masing-masing. Dalam perkara ini, Datuk Khalid menjadi pelengkap dalam fasa baru kehidupan Siti.
?Kita terima saja hakikat yang ditetapkan Tuhan, suka atau tidak ia bukan kerja kita dan terimalah ketentuan Tuhan itu dengan hati terbuka.
?Bagaimana mereka mahu melayari bahtera rumah tangga yang baru dibina, terpulang kepada kebijaksanaan mereka. Hidup berumah tangga mendedahkan pasangan suami isteri kepada pelbagai kemungkinan, harap Siti bersabar,? katanya.
Tambahnya, dalam kerjaya seni dia menghormati Siti kerana berjaya mempertahankan kedudukannya dalam dunia seni lebih 11 tahun.