Tidak campur urusan syarikat Siti Nurhaliza
DATUK Khalid Mohammad Jiwa menegaskan tidak mahu terbabit secara langsung dengan urusan syarikat bakal isterinya, Siti Nurhaliza Production (SNP), Siti Nurhaliza Publishing dan Siti Nurhaliza Marketing.
Sebaliknya, beliau mahu kembali memberi tumpuan dalam urusan perniagaan dengan lebih serius.
“Sudah tentu saya tidak halang Siti meneruskan aktivitinya seperti biasa. Saya tidak akan mencampurinya. Saya mahu tumpukan untuk menjadi ahli perniagaan yang berjaya,” katanya.
Ditanya mengenai ura-ura untuk menerbitkan filem yang turut menampilkan Siti Nurhaliza, Khalid berkata, buat masa ini perkara itu belum ada di dalam fikirannya lagi.
“Jika ia memberi kebaikan kepada Siti dan syarikatnya, saya akan terus memberi sokongan. Bagaimanapun, saya tidak terfikir untuk mengambil bahagian atau berkongsi dalam urusan perniagaan Siti,” jelasnya.
Mengikut laporan akhbar The Edge pada awal tahun 2005, Khalid adalah Pengarah yang baru dilantik untuk syarikat Naluri Berhad. Beliau juga adalah Pengarah Eksekutif dalam syarikat Sriwani Holdings Bhd, selain salah seorang ahli Lembaga Pengarah dalam Atlan Holdings Bhd sehingga Ogos 2005.
Khalid sebelum ini berkahwin dengan Tengku Zawiyah Tengku Izham, 44, pada 24 Disember 1985 di Sungai Petani, Kedah. Mereka bercerai pada 1 Februari 2004. Sepanjang perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat anak lelaki iaitu Mohd Anas, 19, Muhammad Adib (18), Muhammad Asyraf (16) dan Muhammad Aazied (8).
Difahamkan pada majlis perkahwinan di ibu negara yang bakal dihadiri tetamu kehormat seperti Sultan, Raja dan beberapa menteri kabinet, bekas isterinya tidak akan turut serta kerana mengunjungi Australia untuk melihat anaknya yang belajar di sana. Bagaimanapun, anaknya Mohammad Asyraf mungkin hadir. shakira.