KOTA TINGGI: Penemuan tiga kain putih yang diikat berbentuk patung kecil dalam dua liang lahad kosong di tanah perkuburan Islam Kampung Makam, dekat sini, menjadi tanda tanya.
Ini memandangkan dua daripadanya mengandungi gambar penyanyi, Siti Nurhaliza, dan bakal suaminya, Datuk Khalid Mohd Jiwa, atau dikenali sebagai ‘Datuk K’.
Wakil Harian Metro yang menemubual petugas tanah perkuburan dan penduduk kampung, ditunjukkan barangan yang diisi dalam kain putih yang diikat lima seperti jenazah yang dikafan.
Penggali kubur, Encik Zainal Kamari, 28 tahun, berkata selepas solat maghrib Rabu lalu, beliau bersama rakan dan beberapa penduduk menyiapkan satu liang bagi pengebumian seorang mangsa kemalangan.
Ketika itu, terdapat lima liang lahad kosong digali sebagai persediaan awal.
‘Ketika saya turun membersihkan lantai liang sedalam dua meter itu, saya ternampak dua kain putih sepanjang 13 sentimeter yang diikat lima seperti jenazah yang sudah dikafan.
‘Saya hulurkan kepada pembuat kepuk nisan dan seorang pemuda yang selalu membantu kerja di kubur.
‘Mereka membuka ikatan benang itu dan mendapati dalam setiap kain putih itu mengandungi gambar Siti Nurhaliza dan ‘Datuk K’ daripada keratan akhbar, tulisan wafak dan 39 bilah jarum,’ katanya.
Encik Zainal berkata sebahagian jarum itu dicucukkan pada gambar Siti dan ‘Datuk K’.
Sementara itu, Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut, menasihatkan pihak yang cuba menyihir bakal pengantin itu supaya segera bertaubat nasuha kerana perbuatan itu berdosa besar. – Harian Metro.
On 19th August2006