Skip to content

August 8, 2006

Saat romantis di sisi Datuk K



Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my

8ct.jpg
Berganding…Ally Iskandar, Siti Nurhaliza dan Ezlynn
memeriahkan rancangan Tiada Rahsia

WAKTUNYA kian hampir Siti Nurhaliza mengakhiri zaman ‘anak daranya’, namun pelbagai persoalan masih belum terungkai dan ingin diketahui peminat.

Biarpun penampilan eksklusif penyanyi Biarlah Rahsia itu dalam rancangan Tiada Rahsia yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 pada Sabtu lalu untuk merungkaikan persoalan hubungannya dengan Datuk Khalid Muhamad Jiwa (Datuk K), namun tidak banyak perkara yang dicungkil.

Kebanyakan soalan yang ditanya personaliti TV3, Ally Iskandar, selaku pengacara, sudah diketahui masyarakat dan didedahkan media sebelum ini.

Malah, Siti nampaknya mengambil jalan selamat apabila acap kali mengatakan ia adalah ‘jodoh dan takdir’.

Tambah mengecewakan, banyak persoalan tidak mendapat jawapan jelas dan ‘ala kadar’ sahaja. Contohnya, pertemuan pertama Siti dengan Datuk K.

Sepatutnya rancangan yang disiarkan secara langsung selama sejam ini merungkai lebih banyak persoalan yang menjadi tanda tanya peminat seperti persediaan perkahwinan, pakaian, hantaran dan masa depan rumah tangganya bersama anak-anak Datuk K, selain hubungan keluarga kedua pihak.

Memulakan bicara yang berkonsepkan santai dan ringan itu, Siti memberitahu dia mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan mengumumkan hubungannya dengan Datuk K kerana memikirkan beberapa perkara.

“Setiap orang ada cara mereka dalam menyatakan sesuatu terutamanya apabila dikenali ramai. Jika terlalu terbuka, ada risikonya dan jika terlalu berahsia pula menjadi masalah kepada orang yang ingin mengetahuinya.

“Namun, saya yakin ini langkah paling selamat dalam membuat keputusan dan perlu diberi masa kerana banyak faktor lain yang perlu dibincang dan difikirkan,” katanya dan mengatakan hanya 50 peratus kehidupan peribadinya boleh diketahui peminat dan 100 peratus dari sudut kerjaya.

Sebelum ini Siti pernah menyatakan hasrat menamatkan zaman solonya sebelum berusia 25 tahun, namun belum sampai jodoh disebabkan kerjayanya yang semakin kemuncak dan mempunyai komitmen lain.

Selepas itu, dia mengalihkan sasarannya untuk berumah tangga sebelum usia 30 tahun.

Mengenai pemilihan Datuk K sebagai pasangannya, Siti tidak mengulas lanjut, sekadar menyatakan ‘sudah tersurat jodoh mereka’.

Siti juga mendedahkan, ketika usianya mencecah 25 tahun, ada pendapat ‘meramalkan’ dia bakal mempunyai pasangan yang berkumis serta berkening lebat. Kini dia tidak menyangka ‘ramalan’ itu benar.

Pertemuan pertama Siti dengan Datuk K pula bermula atas urusan bisnes yang akhirnya membibitkan perasaan cinta. Namun, pada ketika itu perkenalan mereka lebih kepada bisnes serta jarang berjumpa.

Katanya, dia lebih suka melihat dulu seseorang sebelum berkenalan lebih rapat.

“Saya bertemu dengan ramai orang dan pelbagai lapisan masyarakat serta mempunyai kawan tetapi tidak terlalu sosial.

“Jika keluar pun dengan ditemani orang terdekat dan tidak keluar sekadar ‘suka-suka’. Namun, saya tidak melihatnya sebagai halangan untuk bergaul dengan orang lain. Mungkin ada hikmah di sebalik ‘kongkongan’ ini,” katanya.

Ally juga bertanya adakah pengumuman perkahwinan itu akan menamatkan semua spekulasi media terhadap Siti?

“Fitnah, spekulasi tetap akan timbul. Walaupun kita sudah berkahwin, orang (media) akan tetap mencari. Mungkin itulah harga yang perlu saya bayar apabila bergelar artis,” katanya.

Dalam kesempatan itu juga Siti ditanya apakah tiga benda paling romantik pernah Datuk K lakukan sepanjang percintaan mereka. Bagaimanapun, Siti hanya menjawab satu saja.

“Saya suka makan strawberi cecah coklat. Datuk tahu itu adalah makanan kegemaran saya. Kadang-kadang tanpa saya duga, Datuk belikan strawberi dan coklat,” katanya malu-malu.

Menghangatkan lagi suasana, Ally bertanya apakah panggilan Siti kepada Datuk K, soalan ini membuatkan Siti berdolak-dalih untuk meluahkannya sehingga dipaksa dan digasak penonton agar memberitahunya juga.

Sambil tersipu malu, Siti menjawab dia memanggil Datuk K dengan gelaran ‘Pak Besaq’ (Pak Besar).

Sebelum mengakhiri program, Ally sempat mengusik Siti apakah tiga perkataan yang ingin diucapkan kepada Khalid.

Kali ini Siti mengambil masa cukup lama untuk menjawab. Malah, ada suara nakal kedengaran di kalangan penonton yang menjerit perkataan ‘I Love You’. Tetapi Siti memilih ayat yang menyimpan maksud cukup mendalam ‘Berdoa Untuk Kebaikan’.

Siti juga meminta peminat terus menyokong dan mendoakan kebaikannya serta percaya ada hikmah tersembunyi di sebalik apa yang berlaku.

Rancangan yang diadakan secara tertutup di Studio Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang itu hanya dihadiri ahli Kelab My TV3 yang terpilih sekitar 100 orang.

Ia turut diserikan dengan penampilan istimewa Ezlynn yang menyampaikan tiga lagu popular Siti iaitu Bukan Cinta Biasa, Seindah Biasa dan Percayalah.

Penerbit Tiada Rahsia, Jamil Hassan, berkata rancangan khas ini akan diadakan tiga episod bermula episod pertama di Studio Finas yang menampilkan Siti Nurhaliza sebagai tetamu.

Dua lagi episod pada 12 dan 19 Ogos ini akan diadakan di Studio ntv7 di Shah Alam dengan mengundang keluarga, rakan karib dan sesiapa saja yang rapat dengan penyanyi itu.

“Rancangan ini bukan bertujuan mencungkil rahsia memburukkan Siti Nurhaliza, sebaliknya memberi peluang beliau menjelaskan persoalan yang berlegar di fikiran peminat serta platform untuknya memperbetulkan keadaan dan spekulasi,” katanya.

Read more from Metro

Leave a comment

required
required

Note: HTML is allowed. Your email address will never be published.

Subscribe to comments