03-08-2006 07:16:04 PM
Wahida Asrani
PETALING JAYA: Hantaran pertunangan berkonsepkan gabungan Inggeris-Itali, itulah yang akan disediakan oleh pihak Datuk Khalid Mohammad Jiwa, atau Datuk K kepada bakal isterinya, Siti Nurhaliza pada majlis pertunangan mereka, 21 Ogos ini.
Difahamkan, barang hantaran itu akan digubah oleh jururunding majlis perkahwinan terkenal, Pak Abu, yang dilantik minggu lepas oleh kakak Datuk K, Zaiton Mohammad Jiwa.
Menurut sumber terdekat kepada Pak Abu, pihak lelaki akan memberikan lima dulang hantaran, manakala pihak perempuan akan membalas dengan tujuh dulang pada majlis pertunangan itu nanti.
Barangan yang akan menjadi hantaran kepada Siti pada hari tersebut adalah sedulang manisan, sireh junjung, sebentuk cincin, satu barangan elektronik dan telekung.
Ketika ini, difahamkan Pak Abu masih menanti barang-barang yang akan digunakan untuk membuat hantaran tersebut yang diimport khas dari Itali. Barangan tersebut dijangka sampai pada minggu hadapan.
“Konsep hantaran tersebut memang idea dari Pak Abu sendiri. Yang pastinya, ia akan dihias cantik dengan warna lembut.
“Pak Abu juga mungkin akan menggubah hantaran tersebut pada hari pertunangan itu juga kerana dia akan gunakan bunga-bunga segar sebagai hiasan.
“Jika buat awal, sudah tentulah bunga itu layu,” ujar sumber itu lagi.
Majlis pertunangan Siti dan Datuk K akan diadakan pada hari yang sama dengan majlis pernikahan mereka di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Posted in 


