Skip to content

July 31, 2006

Trans TV mahu hak eksklusif



Edisi Nasional: Trans TV mahu hak eksklusif

Oleh Hartati Hassan Basri dan Norhadiani Baharom
hartati@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Stesen televisyen terkenal Indonesia, Trans TV, berkemungkinan besar menjadi penyiar rasmi majlis persandingan Siti Nurhaliza Tarudin, 27, dan usahawan Datuk Khalid Mohamad Jiwa, 47, atau Datuk K di Jakarta, September ini.

Difahamkan, stesen itu menawarkan harga tinggi untuk mendapatkan hak eksklusif bagi menyiarkan secara langsung persandingan ‘Wedding Of The Year’ itu.

Ia dijadualkan berlangsung tidak lama selepas majlis persandingan di Kuala Lipis, Pahang pada 3 September ini. Difahamkan, Siti memilih rekaan Anna Avanti dan Embun ketika di sana nanti.

Beberapa pasang pakaian kasual dari Embun juga menjadi pilihan Siti untuk menghadiri beberapa majlis sepanjang berada di sana, termasuk berkaitan promosi album terbarunya, Transkripsi.

Malah beberapa pihak juga membuat tawaran untuk bekerjasama dengan Siti Nurhaliza Productions (SNP) menganjurkan persandingan penyanyi yang disayangi masyarakat Indonesia itu.

Trans TV dikatakan paling berminat dan sanggup menawarkan harga tinggi untuk menjadi penyiar rasmi.

Sebelum ini, Siti dan Datuk K memilih Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) sebagai penyiar rasmi untuk menyiarkan secara langsung majlis pernikahan pada 21 Ogos dan persandingan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 28 Ogos, serta di Kuala Lipis pada 3 September.

Pengurus Siti yang juga kakak iparnya, Rozie Abd Razak mengakui beberapa pihak di Indonesia berminat menganjurkan majlis persandingan Siti sebagaimana digembar-gemburkan media sebelum ini.

Katanya, pihaknya belum membuat keputusan pihak mana yang akan dipilih kerana perbincangan dijalankan.

“Buat masa ini kami berbincang kerana ada beberapa pihak yang berminat. Tengoklah, tawaran mana yang paling sesuai,” katanya.

Bagaimanapun, Rozie enggan mengulas mengenai tawaran daripada Trans TV yang dikatakan berminat menjadi penyiar rasmi untuk siaran langsung majlis di Jakarta.

“Memang ada perbincangan dengan stesen televisyen di sana. Insya-Allah peminat Siti di negara itu berpeluang menyaksikan majlis itu secara langsung menerusi televisyen,” katanya.

Mengenai mas kahwin RM22,222.22 yang dikatakan bakal diterima Siti daripada bakal suaminya, Rozie berkata, perkara itu hanya akan didedahkan pada hari pernikahannya nanti.

Katanya, tunggu saja pada 21 Ogos untuk mengetahui jumlah sebenar yang akan diterima Siti.

“Buat masa ini Siti sibuk dengan aktiviti seninya sama ada rakaman program televisyen dan juga persembahan.

“Siti akan mula bercuti selepas memenuhi satu undangan pada 15 Ogos ini. Selepas itu Siti akan memberi sepenuh tumpuan membuat persiapan majlis perkahwinannya,” katanya.

Walaupun tarikh perkahwinan Siti semakin hampir, penyanyi yang mempunyai ramai peminat setia di Malaysia dan Indonesia itu masih berupaya memenuhi undangan persembahan termasuk di Setia Alam, Meru, Klang, Selangor, malam tadi.

Dalam persembahan malam tadi, Siti menyampaikan lebih 10 lagu antaranya medley Bukan Cinta Biasa, Dialah Di Hati dan Seindah Biasa; Indonesia medley, Teman Tapi Mesra (Kumpulan Ratu), Pupus (Dewa) dan Pudar (Rossa) serta lagu popular antaranya Biarlah Rahsia dan Nirmala.

http://www.hmetro.com.my/

Read more from Metro

Leave a comment

required
required

Note: HTML is allowed. Your email address will never be published.

Subscribe to comments