Siti Nurhaliza nafi ‘lepas tangan’ kecoh Mentor
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff dan Serimah Sallehuddin
SITI Nurhaliza nafi ‘lepas tangan’ apabila dua peserta Mentor yang berada di bawah tanggungjawabnya, Ayu Safina Sahidan (Fina) dan Nurnadia Russali (Nadia), tersingkir dalam konsert Prolog yang berlangsung hujung minggu lalu.
Malah penyanyi yang semakin sibuk dengan persiapan perkahwinannya dengan usahawan Datuk Khalid Mohd Jiwa itu pada 21 Ogos ini menyerahkan kepada TV3 untuk menyelesaikan segala kekecohan itu.
“Siti tak lepas tangan. Siti tak boleh cakap apa-apa kerana TV3 yang berhak mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu,†katanya ketika ditemui di majlis sidang media khas mendedahkan identiti bakal suaminya, Isnin lalu.
Keputusan itu menimbulkan kekecohan Ahad lalu di luar Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam apabila bapa Nadia keluar daripada studio gara-gara tidak puas hati dengan pengumuman yang dibuat Ketua Juri, Zainal Abidin.
Bapa Nadia bertindak menjerit di luar Sri Pentas 2 menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap TV3 dan Siti Nurhaliza.
Bukan tidak puas hati dengan penyingkiran anaknya tetapi bapa Nadia mahukan keadilan. Katanya jika Fina terpilih dia menerima dengan hati terbuka, tetapi penyingkiran kedua-duanya dengan memasukkan Siti Khatijah Hassan (Kat) yang didakwa sebagai adik ipar Amy Search menyebabkan dia rasa teraniaya.
Menjawab kontroversi itu, Pengurus Besar Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan berkata, sehari sebelum keputusan diumumkan pihak TV3 melihat undian Nadia dan Fina tidak begitu memberangsangkan.
Lalu satu perbincangan membabitkan Zainal Abidin; Azmeer dan Siti Nurhaliza dilakukan.
“Ketika mereka membuat persembahan di Berjaya Times Square dulu, kami lihat kesemua 12 protege mempunyai potensi. Bagaimanapun, pada konsert Prolog baru kami menyedari kemampuan sebenar mereka.
“Undian mereka juga sangat rendah, justeru satu perbincangan diadakan. Selepas undian ditutup pada jam 12 tengah hari keesokan harinya SMS mereka juga tidak menunjukkan sebarang perubahan. Sementara Kat pula berada pada kedudukan teratas.
“Jurang perbezaan Kat dan dua protege Siti sangat besar. Kalau undian kedua-duanya berada di sempadan mungkin kami boleh berkompromi. Tapi markah mereka ketinggalan jauh, undian Kat pula agak tinggi.
“Kami tidak mahu bakat yang lebih berpotensi disingkirkan. Kat ada ciri-ciri seorang penghibur yang baik,†kata Azhar.
Jelas Azhar juga, pihaknya mengambil kira pakej protege tetapi menolak penyingkiran mereka disebabkan rupa.
“Saya tidak bermaksud demikian. Pakej merangkumi semua termasuk bakat nyanyi, penampilan dan kalau ada rupa itu satu kelebihan,†katanya.
Tambah Azhar lagi, kegagalan untuk meneruskan nasib mereka tidak bermakna impian berakhir di situ. Sebaliknya TV3 masih memberi peluang kepada enam peserta yang tersingkir untuk mengetengahkan mereka melalui aktiviti anjuran TV3 sendiri.
Azhar juga menolak tanggapan kemasukan Kat dipengaruhi Amy Search iaitu abang ipar Kat. Tetapi dia terpilih kerana bakat yang dimilikinya.
“Isu Amy abang ipar Kat tidak ada mengena dalam pemilihannya. Kami tidak akan memilihnya hanya kerana dia ada hubungan dengan salah seorang mentor tetapi kami melihat kepada bakatnya yang dipilih juri profesional ketika sesi uji bakat dulu,†katanya lagi.
Sementara itu Azmeer pula berkata, kadang kala mereka terpaksa menjadi ‘brutal’ demi memberikan keadilan, manakala keputusan yang dibuat sememangnya mengambil kira kehendak penonton yang menghantar undian menerusi talian tetap dan khidmat pesanan ringkas (SMS).
Ditanya mengenai ketidakpuasan hati keluarga dan peminat peserta tersingkir, Azmeer berkata, rasa puas hati sememangnya tidak boleh dielakkan dalam mana-mana pertandingan atau program realiti.
“Reaksi sebegini adalah satu kebiasaan dalam rancangan sedemikian. Kami memang tidak boleh menjangkakan semua orang akan rela dengan keputusan dibuat. Sudah pasti ada pihak tidak akan berpuas hati kerana mereka tidak faham dan tidak mengerti segala perincian,†jelasnya.