Peminat perang di laman Siti
Oleh Zainuri Misfar
KUALA LUMPUR: Forum dalam laman web rasmi Siti Nurhaliza, sitizone.com ditutup selepas berlaku ‘perang’ di antara peminat berhubung rancangan penyanyi itu berumahtangga dengan Datuk Khalid Mohd Jiwa yang lebih dikenali sebagai Datuk K.
Ruangan itu dikatakan ditutup tengah hari semalam, kerana Berita Harian mengesan masih ada peminat yang sempat menghantar ulasan mereka di laman web itu sehingga jam 11 pagi.
Laman web sitizone.com dimiliki Siti Nurhaliza Production (SNP) dan menyediakan pelbagai maklumat mengenai Siti Nurhaliza seperti album terbarunya, poster dan kegiatan beliau.
Tindakan Siti Nurhaliza menutup ruangan sembang itu menimbulkan kemarahan peminatnya sendiri sehingga ada yang mendakwa dia seolah-olah mahu menyembunyikan hal sebenar berhubung ura-ura perkahwinannya.
Seorang pembaca yang dikenali sebagai One Haz dalam emel kepada Berita Harian semalam berkata, tindakan Siti menutup ruangan ‘mesej untuk CT’ menggambarkan sikap penyanyi itu yang seolah-olah cuba lari daripada bayangannya sendiri.
“Kenapa tidak tampil membetulkan huru-hara di web rasmi itu. Kenapa mesti tutup ruangan yang menjadi satu-satunya tempat peminat Siti untuk bersuara. Saya cukup kecewa dengan Siti.
“Saya sayang Siti Nurhaliza tetapi kalau inilah yang dilakukannya, saya cukup kecewa,†kata One Haz.
Dalam pada itu, laman web lain Siti Nurhaliza seperti ctnurhalizaonline.net pula tidak membuka forum berhubung peminat bahkan pengendali laman web itu seperti menghalang mana-mana pihak yang mahu bersuara mengenai hubungan penyanyi itu dengan Khalid.
Beberapa laman web tidak rasmi penyanyi itu juga tidak membincangkan perkara itu.
Bagaimanapun, satu lagi laman web mengenai Siti Nurhaliza, sitinurhaliza-svoa.com pula membuka topik yang memperkatakan kisah peribadi penyanyi itu.
Tidak seperti ctzone.com, perbincangan dalam laman ini tidak keras sehingga berlaku ‘perang’ peminat penyanyi itu.
Namun, ada peminat seperti terpinga-pinga dengan penjelasan sebenar daripada Siti Nurhaliza mengenai hubungannya dengan Khalid. Biarpun masih bernada lembut, kebanyakan peminat Siti Nurhaliza tetap kecewa.
Seorang peminat yang dikenali sebagai Lini23 berkata, apa salahnya Siti Nurhaliza berterus terang saja bahawa Khalid itu adalah kekasihnya dan mereka memang merancang untuk berkahwin daripada terus mendiamkan diri.
“Semua orang nak Siti bahagia. Cuma satu saja pinta kita semua, jangan dolak-dalih pasal hal ini. Kalau tak nak, beritahu awal, tak payah cakap hati dah dimiliki.
“Sejak dia canang hatinya sudah dimiliki, dia juga sudah tentu faham mesti ramai nak tahu siapa (lelaki itu). Cara Siti buat sekarang memperbodohkan media dan peminat,†katanya.