Skip to content

June 28, 2006

Mesej dari Sitizone.com



Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung yang singgah di sini.

“TUMPANG BERLINDUNG WAKTU SUSAH DAN SENANG, DATANG BERLINDUNG WAKTU SUSAH DAN SENANG”. Kata-kata ini cukup sinonim dengan Rumah yang Siti bina ini. Bak payung yang melindungi, bak pohon rendang yang meneduhi. Begitu harmoni bunyinya. Kita bina makna saudara, biar jauh atau dekat. Kita bersatu tanpa memandang rupa dan pangkat. Kita bersama walau terpisah jarak dan tempat. Kita lalui satu zaman yang sungguh hebat, penuh tawa, ceria dan saling memberi hormat.

Namun apa yang terjadi kini sebaliknya. Kata-kata di atas mungkin sudah tidak revelan lagi kerana maknanya sudah terlalu jauh dari hati kita. Siti memohon maaf kerana terpaksa menutup ruangan catatan atau mesej di Rumah ini untuk mengawal keadaan yang sudah menjurus kepada rasa tidak hormat, umpat, kata-kata kesat dan juga debat. Harmoni yang kita cipta dahulu sudah tidak ada lagi dan Siti akan jelaskan mengapa ia harus ditutup sementara.

Siti sudah lama memohon agar semua pihak bersabar dan memahami. Sudah berkali-kali Siti mohon namun usaha itu ibarat mencurah air ke daun keladi. Selama ini Siti telah banyak cuba memahami kalian, memberikan yang terbaik, namun jika semua ini tidak lagi diberi erti, sukar untuk Siti mohon anda memahami. Walaupun Siti akur ianya sukar, namun Siti hanya mampu memohon. Tidak ada kejadian tanpa sebab, juga bukan sengaja mahu mendiamkan diri dan membuatkan anda tertanya-tanya tentang `hal’ yang sedang berlaku sekarang, jauh sekali untuk mempermainkan perasaan anda, malah ada juga yang menganggap Siti cuba menipu.

Siti hanya mohon agar anda bersabar kerana ianya akan diumumkan daripada mulut Siti sendiri, namun berilah ruang kepada Siti. Bagaimana Siti mahu menolak publisiti yang Siti sendiri memang tidak mahu hal ini terus digembar gemburkan. Ia bagaikan tekak yang dijolok-jolok dengan banyak jari dan akhirnya akan termuntah juga. Itulah umpamanya hal yang Siti tanggung sekarang. Siti tidak pinta semua ini malah jika tidak diperbesarkan lebih melegakan hati, tapi apa daya Siti.

Jika paparan di media yang membuatkan suasana terus-terusan bertambah panas, walaupun Siti sendiri tidak mahu, namun Siti sudah memohon berkali-kali. Adakala Siti sendiri akur, bagaimana rasa hati kalian membaca semua ini kerana kalian juga tidak memahami. Justeru pelbagai anggapan akan berlaku dan mangsanya adalah Siti. Mungkin pada kali ini kita harus menjaga kita sendiri, anda menjaga hati anda juga, begitu juga Siti,kerana bagaikan tiada ruang lagi untuk anda memahami.

Tidak mudah untuk menutup Rumah ini, ia ibarat pintu terbuka kepada sesiapa sahaja. Siti membukanya dengan memberikan anda selesa, catatlah apa sahaja, berkongsilah segala rasa, dan selama ini juga Rumah ini begitu terjaga.

Jika sudah ada yang tidak selesa, berbalah di dalam rumah ini dan ada pihak yang cuba menangguk di air keruh, Siti fikir biarlah Rumah ini ditutup sementara. Biar keadaan reda dan Siti sekali lagi memohon agar anda semua bersabar, dan cuba memahami.

Siti juga ingin memohon maaf kepada pengunjung setia Rumah ini kerana terpaksa melakukan ini walaupun pelbagai spekulasi akan datang dan pergi, namun jauh di sudut hati Siti, Siti berharap agar penutupan sementara ini akan membuatkan keadaan boleh diperbaiki.

Sekali lagi Siti mohon maaf jika ada kata-kata Siti yang kurang menyenangkan dan juga kesalahan-kesalahan Siti, namun sebagai seorang manusia biasa, Siti juga mempunyai hati dan perasaan, malah tidak ada yang luar biasa berbanding anda semua. Kekuatan Siti selama ini kerana mempunyai anda semua, dan besar harapan Siti kekuatan itu masih terus mahu memberi dan mahu memahami.

Salam Hormat Selalu…
Datang Berlindung, Waktu Susah Dan Senang,
Tumpang Berlindung, Waktu Susah Dan Senang.

Siti Nurhaliza
28 hb Jun 2006 : 6.30pm

Read more from Sitizone

Leave a comment

required
required

Note: HTML is allowed. Your email address will never be published.

Subscribe to comments