Skip to content

June 27, 2006

‘Perang’ di laman web Siti



Oleh Zainuri Misfar

Ada peminat minta penyanyi kesayangan mereka beri pertimbangan jika mahu dirikan rumah tangga dengan pilihan hati

HUBUNGAN cinta antara Siti Nurhaliza dengan ahli perniagaan, Datuk Khalid Mohd Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K bukan rahsia lagi. Selagi kedua-duanya tidak membuat sebarang kenyataan terbuka dan rasmi, penyanyi itu akan terus dikejar media, manakala peminat Siti Nurhaliza pula ternanti-nanti, resah dan berdebar apa kesudahannya hubungan mereka nanti kerana ia bukan lagi satu gosip atau desas-desus.

Laman web rasmi Siti Nurhaliza, sitizone.com dihujani pelbagai pertanyaan daripada peminatnya. Ada peminat yang tidak peduli mengenai hubungannya dengan Khalid apabila mereka mengharapkan ia boleh memberi kebahagiaan dan kegembiraan kepada penyanyi itu.

Bagaimanapun, ramai juga tidak menyenangi hubungan itu. Malah, sikap dan penjelasan Siti Nurhaliza kepada media apabila mengulas hubungannya dengan Khalid juga tidak disenangi peminat.

Seorang peminat Siti Nurhaliza dari Singapura yang dikenali sebagai Zu berkata, dia bimbang imej bersih Siti tercalar gara-gara hubungannya dengan Khalid. Pada masa sama, dia juga dengan kedudukan dan penjelasan penyanyi itu dengan Khalid.

“Saya akui saya peminat Siti. Apa saja mereka memperkatakan berkenaan Siti, saya akan mempertahankan. Tapi itu hanya dulu, sebelum keluar akhbar menyiarkan Datuk K berkunjung ke rumah CT. (Saya) kurang faham dengan sikap Siti. Dulu Siti katakan Datuk K hanyalah business partner. Tapi sekarang tak akan sampai berkunjung ke rumah! Pelik juga. Tak perlu penjelasan.

“Kita bukan kanak-kanak yang masih berhingus. Kita dah dewasa memikirkan masa depan kita. Sanggupkah kita membina kebahagiaan di atas kesengsaraan orang lain. Sekarang kami melihat apa sebenarnya pada Siti,” jelas Zu lagi.

Seorang lagi peminat Siti yang dikenali sebagai Lukman dari Kuala Lumpur pula menasihati Siti Nurhaliza supaya membuat pertimbangan sewajarnya kerana ia membabitkan masa depan penyanyi itu sendiri.

“Kajilah sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan, dan yang terakhir sekali mintalah petunjuk dan pedoman daripada Yang Maha Esa. Saya tak mahu apa yang terjadi kepada bekas isteri beliau terjadi kepada Siti.

“Mungkin peminat menyokong Siti pada ketika ini, tetapi apabila berlaku sesuatu nanti, masihkah mereka akan menyokong Siti? Setiap makhluk Allah perlukan pasangan, tetapi tepatkah tindakan Siti ini? Fikirlah sewarasnya Siti,” kata Lukman lagi.

Sikap Siti yang terus mendiamkan diri juga menyebabkan peminat tertanya-tanya sejauh mana hubungannya dengan ahli perniagaan itu. Sebagai peminat setia yang memberi sokongan tidak berbelah bagi, mereka juga berasakan berhak untuk mendapatkan penjelasan sebenar daripada Siti.

Read more from Berita Harian

Leave a comment

required
required

Note: HTML is allowed. Your email address will never be published.

Subscribe to comments