Baru sahaja baca message Siti Nurhaliza di Sitizone. Tak puas hati dengan Siti ni pasal VCD Akustik! Ada ke dia kata " Siti tidak mahu menjelaskan dengan panjang lebar kerana selama ini sebarang kemunculan Siti di rancangan tv tidak pernah dibuat VCD."
Abis yang Suria Channel/TV12 keluarkan VCD "Bersama Siti" tu apa???
Message Penuh Siti :
Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung di sini. Terima kasih kerana menjadikan rumah ini semakin meriah dengan kehadiran anda, ibarat tuan rumah, Siti senantiasa menghargai kedatangan anda semua.Gembira dengan hari-hari yang Siti lalui selepas album Transkripsi dipasarkan. Banyak hari-hari yang menggembirakan walaupun sibuk kerana Siti dapat mendekati anda semua. Buat masa ini barangkali tumpuan lebih kepada kemunculan Siti di stesen radio terlebih dahulu namun Siti amat bersyukur kerana ada ruang yang boleh menghubungkan Siti dengan anda semua. Pada 28 Mei nanti, pertama kali Siti muncul untuk majlis terbuka bagi bertemu peminat sempena Transkripsi di Tower Records, semoga acara akan berlangsung dengan baik. Walaupun tempatnya agak terhad namun gedung itu sesuai untuk mengadakan acara tersebut. InsyaAllah Siti cuba memanfaatkan waktu yang ada dengan sebaiknya.
Selepas ini Siti akan sibuk dengan beberapa acara di televisyen hingga Julai nanti, ada yang disiarkan secara langsung, ada juga yang dirakamkan terlebih dahulu. Siti juga menjalani penggambaran video klip Bisakah, yang bakal diarahkan oleh Osman Ali. Siti amat berharap agar hasilnya akan memuaskan hati anda semua, selain sibuk dengan iklan pendek untuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Bagi Siti kerja yang dijalankan bukan hanya atas dasar kerja, namun InsyaAllah ada amanah yang terselit dan Siti cuba memberi sesuatu kepada masyarakat.
Semakin lama dalam industri ini, semakin banyak yang harus diberikan namun itulah yang Siti katakan sebagai amanah. Bidang ini bukan pentas glamour semata-mata tetapi ianya menuntut kepekaan dan bagaimana kita boleh memberikan sesuatu kepada masyarakat. Barangkali bergelar artis kita akan dipandang atau diangkat sebagai idola namun Siti lebih selesa jika artis juga dipandang sebahagian daripada masyarakat. Justeru itu, peranan kita sesama insan adalah sama, dan sedikit pun tidasa beza sama ada dalam karier atau kehidupan. Barangkali hanya kerana bidang ini digelar glamour dan orang mengenali, seringkali artis itu dibezakan dengan orang lain.
Terima kasih juga Siti kepada anda semua yang memberi info tentang kedai yang menjual album cetak rompak khususnya album Siti. InsyaAllah jika semua pengguna prihatin, gejala ini akan dapat dihapuskan sedikit demi sedikit.
Mengenai VCD Akustik Siti yang dikatakan sudah terjual, Siti secara peribadi memang tidak tahu menahu mengenainya. Setelah diselidik, sebetulnya ia tidak patut berlaku. Siti tidak mahu menjelaskan dengan panjang lebar kerana selama ini sebarang kemunculan Siti di rancangan tv tidak pernah dibuat VCD.
Siti berharap agar pertanyaan tentang kewujudan VCD itu tamat di sini, biar pihak yang berkenaan menyelesaikannya. Siti cuma menerangkan sahaja kerana banyak peminat yang bertanyakannya.
S ekian sahaja mesej kali ini. Semoga gembira selalu.
Salam Sayang…
Datang Berlindung, Waktu Susah Dan Senang,
Tumpang Berlindung, Waktu Susah Dan Senang.Siti Nurhaliza
23 hb Mei 2006 : 12.30pm