RSS Feed
Featuring the latest scandals, gossip, and entertainment news.


Kris nasihati Siti.



KRIS HARAP SITI TENANG

“SITI sedang diuji dan saya harap dia punya jiwa yang besar untuk menghadapinya.” Itulah komen penyanyi popular Indonesia, Kris Dayanti, 29, ketika ditanya pendapatnya mengenai serangan e-mel yang diterima penyanyi popular Malaysia, Siti Nurhaliza, 25, sejak lebih seminggu lalu.

Penyanyi yang kini popular dengan lagu Pilihlah Aku dan Cobalah Untuk Setia daripada album barunya, Cahaya berkata, Siti tidak boleh kecil hati atau menggelabah dengan perkara itu kerana tiada apa yang mampu dilakukannya untuk menghalang penyebaran internet yang begitu global.

Ibu dua anak ini berkata, apa yang mampu Siti lakukan ialah sekadar membacanya kerana akses internet begitu luas dan tiada apa yang mampu menyekatnya daripada tersebar luas.

“Apabila tiba di Kuala Lumpur semalam (31 Ogos), saya ada mendengar perkara ini. Sebagai rakan artis, saya prihatin dengan apa yang menimpa Siti tetapi dia tidak boleh rasa tertekan atau marah dengan cerita yang disebarkan.

“Pada pandangan saya, Siti juga tidak perlu melakukan tindakan susulan seperti tindakan undang-undang, sebaliknya tenang dan berdiam saja. Apa yang lebih baik ialah jadikan tuduhan-tuduhan itu sebagai satu cermin diri untuk melihat semula diri kita.

“Mungkin Siti boleh berfikir mengapa ada orang yang sanggup berbuat begitu kepadanya. Mungkin ada kesalahan yang dilakukan Siti tanpa sedar dan ini memberi kesempatan kepadanya memikirkan semua itu.

“Satu hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah ada hal-hal yang perlu dijaga dan ada perkara yang tidak mampu kita lawan. Itu juga salah satu cabaran yang perlu dihadapi sebagai selebriti.

“Itu jugalah yang selalu ditanamkan suami saya dan katanya perkara itu membuatkan kita tidak sombong apabila berjaya. Mungkin juga semua ini membuatkan Siti lebih kuat dan tabah menghadapi hari-hari mendatang,” katanya dalam satu pertemuan di Hotel JW Marriott, kelmarin.

Kris yang kini berada di Kuala Lumpur sejak 31 Ogos untuk promosi Cahaya, turut menjadi tumpuan media tanah air untuk mendapatkan komennya mengenai e-mel yang dikatakan cuba ‘menelanjangi’ Siti dengan mendedahkan keburukan Siti ketika sidang media sempena pelancaran albumnya di Planet Hollywood, kelmarin.

Siti dan Kris dikatakan agak rapat kerana sering menjayakan program televisyen bersama jika Siti mengadakan promosi di Jakarta. Dalam e-mel itu, Kris secara tidak langsung turut dibabitkan apabila dikatakan sebagai orang yang memperkenalkan Siti dengan rawatan botox di Jakarta, Indonesia.

Penyanyi yang popular di Malaysia sejak 1999 melalui lagu Menghitung Hari itu mengakui dia sendiri menerima banyak cabaran melalui surat atau e-mel yang mencemuhnya tetapi semua itu sekadar dibaca untuk tatapan minda.

“Kalau saya, sudah terlalu biasa menghadapi perkara-perkara ini. Bukan sekadar kata-kata marah melalui surat atau internet malah saya dikaitkan dengan gambar porno melalui super-impose.

“Sememangnya perkara-perkara itu cukup membimbangkan kerana membabitkan peminat lebih-lebih lagi bagi orang kampung yang begitu sukar menerima hakikat ini.

“Malah ada perkara kecil yang saya suarakan seperti saranan kepada salah seorang peserta Indonesian Idol baru-baru ini supaya mengambil diet apabila melihat penampilannya yang gemuk.

“Kesannya saya menerima e-mel dan surat daripada sekelompok masyarakat yang begitu marah dengan saya. Saya juga berharap janganlah kita saling berusaha menjatuhkan orang lain atas dasar cemburu atau sakit hati.

“Saya percaya masing-masing ada peluang untuk naik atau mencipta kejayaan tetapi bergantung kepada nasib seseorang sama ada naik dulu atau turun cepat.

“Bagi saya Siti adalah satu aset nasional yang perlu dijaga dan bukannya cuba untuk dijatuhkan dengan perkara-perkara seperti ini. Saya melihat penyebaran e-mel ini bukan mahu menjatuhkan Siti sebaliknya lebih kepada semangat atau satu cubaan yang dilalui Siti ketika ini,” katanya turut kesal apabila dimaklumkan bahawa namanya turut dikaitkan dalam e-mel itu.

Kris yang berada di Kuala Lumpur sehingga 5 September bersama suaminya, Anang, menjayakan Showcase Cahaya di Planet Hollywood semalam (Khamis) serta acara penutup Festival Kuala Lumpur (KLAF) di Jalan Changkat Bukit Bintang, Kuala Lumpur, malam esok.

http://www.hmetro.com.my/

Leave a Reply