Oleh Hartati Hassan Basri
TIADA kekeliruan atau pertikaian apabila Bunga-Bunga Cinta ciptaan Adnan Abu Hassan diumumkan juara Anugerah Juara Lagu ke-18 (AJL18) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, kelmarin. Bunga-bunga Cinta yang dimuatkan dalam album sulung Misha Omar turut menang kategori Balada dan juga kejayaan penyanyinya untuk Vokal Terbaik.
Malah Juara Lagu yang memberi pengiktirafan kepada komposer dan penulis lirik sejak dianjurkan TV3 pada 1986, kembali menjadi milik komposer veteran selepas dua tahun dirampas orang baru. Yasin Sulaiman mencatat kejayaan besar dua tahun lalu menerusi Mimpi Laila manakala Aidit Alfian menang melalui Keliru tahun lalu.
Kejayaan Adnan ini juga mengulangi kejayaannya tujuh tahun lalu melalui Jerat Percintaan (Siti Nurhaliza) yang diumumkan juara Balada dan Juara Lagu 96 manakala Siti menang Persembahan Terbaik.
Kelmarin, Adnan meraih tuah melalui Misha Omar apabila lagunya menang Balada, Juara Lagu 2003 manakala Misha menang Vokal Terbaik. Adnan membawa pulang RM12,000 dan trofi (Balada) dan RM25,000 bersama trofi untuk AJL18 manakala Misha RM10,000 untuk dirinya.
AJL18 juga satu kejayaan penyanyi baru apabila Ezlynn menang kategori Pop Rock melalui Hi Hi Bye Bye ciptaan KRU, Waheeda kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif (Wassini) dan Misha (Balada).
Mereka mengetepikan orang lama seperti Siti Nurhaliza (Ku Milikmu), Ning Baizura (Selagi Ada…Cinta), Anuar Zain (Keabadian Cinta), Noraniza Idris (Tandang Bermadah), Mas Idayu (Hasrat Perindu), May (Sinar) dan Exists (Percayakan Siti). Turut bertanding ialah OAG (Akustatik) dan Yasin (Salsabila).
Bagaimanapun Siti tidak pulang kosong apabila membawa pulang RM10,000 bersama trofi untuk Persembahan Terbaik. Gaya Siti bersama penari untuk tap dance ala Riverdance untuk lagu ciptaan Zuraini, Ku Milikmu memikat juri, walaupun persembahan meriah Noraniza disebut-sebut layak untuk kategori itu.
Rasanya lebih baik Noraniza tampilkan kelainan malam itu dengan bergaya solo kerana sudah bertahun-tahun pejuang Irama Malaysia ini di kelilingi penari bagaikan persembahan Citrawarna Malaysia.
Walaupun formula ini pernah membawa kejayaan kepadanya sebelum ini, sudah tiba masanya Noraniza tukar angin. Tiada cacatnya persembahan Noraniza malah generasi muda harus berbangga dengan kesungguhannya memartabatkan budaya masyarakat etnik di Malaysia, cuma sudah terlalu biasa.
Penyanyi kumpulan Exists, Ezad, bikin kejutan dengan imej ala Mike Meyers dalam filem Austin Powers. Persembahan Ezad penuh yakin dan selamba, begitu juga OAG sebagai budak sekolah. May juga hebat tetapi agak biasa.
Keseluruhannya, juara malam itu ialah Adibah Nor yang diberi tanggungjawab bersama Dayang Nurfaizah memperkenalkan 12 lagu yang bertanding di AJL18. Sebut saja irama apa dari pop rock (Akustatik), Irama Malaysia & Etnik Kreatif (Wassini) atau rock (Sinar), tiada yang sumbang dari lontaran vokal Adibah.
Langkah penganjur meletakkan barisan penyanyi tanah air mempersembahkan lagu bertentangan muzik mereka seperti Siti Sarah dan Hazami untuk lagu Irama Malaysia, Metalasia dan Amuk (rap) dan Ella (dangdut) dalam segmen interlud, sebagai satu kejutan dan kelainan.
Penampilan Ella bergelek menyanyikan lagu dangdut Amelina dan Ramlah Ram menimbulkan kelucuan apabila kelihatan keras tetapi apa yang penting sikap `sporting†Ratu Rock itu.
Bagaimanapun vokal Siti Sarah tidak sesuai menyampaikan untuk lagu Joget Kenangan Manis.
Telatah Aznil Nawawi dan Sarimah Ibrahim sebagai pengacara juga wajar dipuji kerana berjaya memberi informasi mengenai AJL sejak 18 tahun lalu, walaupun dipersembahkan secara ‘berperang’.
Bagaimanapun menjelang penghujung acara, mereka mula melawak lucah seolah-olah kelucuan tidak dapat dielakkan dari lucah.
http://www.emedia.com.my/