KASIH saudara masa berada, kasihnya ibu membawa ke syurga dan syurga di bawah telapak kaki ibu adalah perumpamaan yang cukup menyanjung betapa besarnya budi dan pengorbanan ibu tercinta yang sanggup berkorban harta dan nyawa demi membesarkan anak-anak.
Sejauh manakah generasi alaf baru menghargai jasa dan budi ibunda tercinta? Inilah mesej bermakna yang ingin disampaikan oleh Suria Records Sdn Bhd (SRC) dengan menerbitkan produk berkualiti, Airmata Ibu bagi memupuk kesedaran kepada masyarakat.
Produk ini diserikan lagi dengan penampilan khas, penyanyi tersohor tanah air, Siti Nurhaliza sebagai role model kepada generasi muda yang akan menyanyikan lagu tema telemovie ini yang juga berjudul, Airmata Ibu. Lagu ini memuatkan dalam album terbaru Siti yang akan berada di pasaran tidak lama lagi.
Siti yang juga artis SRC ketika diminta pandangannya mengenai telemovie ini berkata:
“Telemovie ini ada mesej yang baik dan cukup bermakna kepada masyarakat. Siti percaya kita semua ada ibu dan ada juga yang sudah dan bakal menjadi ibu tidak lama lagi. Ibu Siti sendiri seorang yang cukup prihatin dan sanggup berkorban apa saja untuk anaknya,†katanya di majlis pratonton dan pelancaran telemovie Airmata Ibu terbitan SRC di Saloma Theatre, kelmarin.
Telemovie arahan Eddie Pak ini dibintangi oleh barisan artis popular tanah air seperti Wan Nor Azlin, Jalaludin Hassan, Khatijah Tan, Zaidi Omar, Esma Daniel, Shaharuddin Tamby, Danny X-Factor, Zulkifli Majid, Norkhiriah Shafie, Suhaila Sulaiman dan beberapa pelakon kanak-kanak.
Pengarah Urusan SRC, Tan Su Loke, berkata sejajar dengan kehendak pasaran SRC juga giat menerbitkan telemovie dalam bentuk Video Cakera Padat (VCD).
Katanya, telemovie pertama terbitan SRC yang mencatat kejayaan ialah New Boyz, Pulau Inspirasi, yang dijual melebihi 50,000 unit. Mengikut perancangan, pihak kami juga bercadang akan menerbitkan filem pula tidak lama lagi.
“Telemovie Airmata Ibu ini diharap akan mendapat sambutan kerana ia dibarisi pelakon popular tanah air. Penampilan khas Siti juga adalah bagi menyanyikan lagu tema untuk telemovie ini.
“Pemilihan Siti untuk menyampaikan lagu tema telemovie ini kerana pihak kami mendapati ia sesuai dengan suara Siti yang memang boleh menyampaikan lagu sedemikian dengan baik,†katanya.
Penggambaran telemovie yang membabitkan kos lebih RM100,000 ini membabitkan kawasan perkampungan di Janda Baik, Pahang, selama sebulan.
Airmata Ibu ini bertemakan penderitaan seorang ibu yang bernama Aisyah yang mengalami musibah berlarutan seperti sudah jatuh ditimpa tangga.
Aisyah juga berusaha mencari pekerjaan di sebuah resort untuk membesarkan tiga anaknya yang masih kecil.
Antara masalah yang dihadapi Aisyah ialah dirinya menderita penyakit barah, lebih-lebih lagi selepas kematian suaminya Kamal. Namun Aisyah merahsiakan penyakit yang dihidapi daripada anak-anaknya itu.
Apa yang menyedihkan ibu tunggal ini terpaksa berpisah dengan anak-anaknya dengan menyerahkan mereka kepada keluarga angkat.
http://www.emedia.com.my/
On 19th February2003