Al-Kisahnya.
Siti terbabit dalam Paloh
NAMPAKNYA suara emas penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza terus menjadi pilihan untuk menyanyikan lagu latar filem. Terbaru, Siti dipilih untuk menyanyikan lagu Tetap Di Sini bagi dimuatkan dalam filem, Paloh.
Pemilihan Siti bermakna satu tanggungjawab berat buat penyanyi Jerat Percintaan itu. Ini kerana Paloh adalah filem kedua terbitan Filem Negara Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas). Manakala, produksinya pula dikendalikan World Evolution Brain (WEB).
Selain menyumbang suara, Siti juga meluangkan masa untuk menjalani penggambaran klip video lagu berkenaan di sekitar Kuala Lumpur, minggu depan. Pembabitan ini dapat dilihat sebagai sumbangan kecil penyanyi SRC itu kepada pembangunan filem nasional.
Dengan penghasilan lagu terbaru itu, ini bermakna Siti sudah menyumbang suara untuk tiga lagu runut bunyi, selain telemovie, Air Mata Ibu dan Untuk Selamanya. Lagu Untuk Selamanya dimuatkan dalam filem terbaru lakonan Rosyam Nor dan Nasha Aziz, Laila Isabella yang akan menemui penonton Mac ini. Telemovie Air Mata Ibu akan berada di pasaran mulai 24 Februari ini.
Sementara itu, album terbaru Siti, Emas akan berada di pasaran 3 Mac ini. Emas adalah singkatan daripada Edaran Muzik Aspirasi Semasa membuktikan kepekaan anak Kuala Lipis, Pahang ini terhadap peredaran kerjaya seninya. Antara lagu yang dimuatkan termasuk Bukan Cinta Biasa, Debaran Cinta dan Ku Yakini.
VCD Ada Apa Dengan Cinta
DEMAM Apa Ada Dengan Cinta (AADC) nampaknya masih belum berakhir. Selepas tamat tayangan di pawagam, kini peminat filem lakonan Dian Sastowardoyo dan Nichloas Saputra berpeluang menontonnya menerusi video cakera padat (VCD).
Istimewanya, VCD edaran Suria Records yang berada di pasaran Isnin lalu, didatangkan dalam pakej istimewa. Pada harga RM19.90, selain dapat menonton filem berkenaan, peminat juga dihadiahkan dengan tiga keping poskad.
Setiap poskad pula, menyelitkan puisi yang dideklamasikan Cinta dan Rangga dalam AADC. Peminat juga berpeluang mengikuti kisah di sebalik tabir pembikinan AADC kerana VCD itu turut menyertakan The Making Of AADC selama 45 minit.
Ia turut diselitkan dengan sari kata untuk kepuasan tontonan. Maklum, sebelum ini ada yang merungut kerana sukar memahami bahasa yang dituturkan dalam filem berkenaan.
Pelik juga kerana mengapa baru kini VCD edisi istimewa itu diedarkan. Justeru apabila ditanya kepada pihak terbabit, sumber SRC berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada semua pengedar supaya tidak menjual VCD selain yang diedarkan mereka.
“Ini kerana di Malaysia, hanya SRC yang mendapat hak untuk mengedarkan filem berkenaan. Mengikut perjanjian, VCD asli hanya boleh dijual sebulan selepas filem itu ditayangkan di pawagam,†kata sumber berkenaan.
Selamat Pengantin Baru
PENYANYI Mimpi Laila, Yasin sudah pun selamat bergelar isteri apabila diijabkabulkan dengan wartawan New Straits Times, Eena Houzyama, 14 Februari lalu. Ahad ini, pasangan ini akan sekali lagi diraikan pada satu majlis di Petaling Jaya. Selamat Pengantin Baru buat mereka berdua.
Dalam pada itu, Persada Seni turut terdengar khabar penyanyi Liza Hanim juga bakal menaiki jinjang pelamin. Kalau pasangan Sharifah Shahirah dan Ijoy Azari memilih awal Mac sebagai tarikh mengabadikan ikatan cinta mereka, Liza pula akan diijabkabulkan dengan pasangannya, Shah hujung bulan depan.
Khabarnya, penerima trofi Persembahan Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu ke-17 itu sudah pun menempah bunga telur yang direka khas untuk tetamunya nanti. Bunga telur itu dengarnya ditempah khas dari Klang dua bulan lalu.
Dengarnya, Liza sempat berpesan supaya ia disiapkan sebelum kedatangan Mac. Kalau sudah macam tu, betullah masanya sudah dekat. Tapi, Liza nampaknya masih belum membuka mulut mengenai hal ini. Hai, nak buat surprise ke Liza?
http://www.emedia.com.my/