RSS Feed
Featuring the latest scandals, gossip, and entertainment news.


Dalam lubuk hati Siti.



COMEL… Siti mencecah 24 tahun Sabtu ini. -Gambar SHAHRUL ZAMAN ZAIN

BUKAN mudah bagi seorang artis mengekalkan populariti apatah lagi meraih puluhan anugerah setiap tahun. Hanya mereka yang berpengaruh dan bijak mengatur langkah dalam arena seni saja mampu berbuat demikian.

Itulah kelebihan yang ada pada gadis berasal dari Kuala Lipis, siapa lagi kalau bukan Siti Nurhaliza Taruddin, 24. Sekalipun mahkota Artis Paling Popular yang dipertahankan selama lima tahun berjaya menjadi milik Rosyam Nor tahun lalu, namun Siti terus menambat hati jutaan peminatnya.

Mengukuhkan lagi kedudukan dalam arena seni suara yang penuh mencabar ini, penyanyi yang diperkenalkan menerusi lagu Jerat Percintaan terbitan SRC Record pada tahun 1995 mengidam untuk mengadakan konsert besar di Indonesia serta konsert jelajah di luar Kuala Lumpur bagi mendekatkan diri bersama peminat yang menyokongnya selama ini.

Menurut Siti, dia serius merealisasikan impian itu sempena kehadiran album pop terbarunya yang dijangka berada di pasaran 11 Januari ini di mana tarikh yang sama Siti menyambut kelahiran yang ke 24 tahun.

“Mungkin ada yang tertanya mengapa Siti pilih Indonesia. Sebenarnya semua ini untuk peminat kerana tanpa mereka mungkin Siti tidak dikenali di sana. Dengan peluang yang diberikan, apalah salahnya Siti membalas budi mereka kerana mereka juga membeli album Siti? dan pendorong kerjaya seni Siti.

“Begitu juga, konsert jelajah luar Kuala Lumpur (KL) yang Siti rancang selepas pelancaran album baru ini. Sebenarnya bukan tak mahu buat di KL tapi Siti selalu adakan konsert dan persembahan di sini jadi peluang peminat berjumpa Siti mudah.

“Tapi kat luar sana susah untuk kami bertentang mata. Namun, semua itu bergantung pada perancangan dan kesanggupan penganjur. Setakat ini Siti tidak mampu bercerita lebih lanjut kerana masih dalam perbincangan,” katanya.

Siti mengakui, peluang menjayakan persembahan ulang tahun Trans TV bersama penyanyi terkenal Indonesia, Kris Dayanti, Vina Panduwinata, A B Three, Nita Thalia, Lis Dahlia, Adien dan Koes Hendratmopada 14 Disember lalu pendorong utama mengadakan konsert di republik itu.

Bagaimanapun, penyanyi berwajah comel ini mahu memberi tumpuan terlebih dulu pada pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-17 apabila lagu dendangannya Nirmala ciptaan Pak Ngah dan Bicara Manis Menghiris Kalbu (Aiman) layak ke peringkat akhir.

“Sekarang ini Siti sedang sibuk membuat persiapan persembahan membawakan dua lagu berkenaan. Bagi Siti pertandingan kali ini lebih sengit bukan saja taruhan lagu setiap calon variasi dan mantap malah, persembahan finalis akan diiringi orkestra pimpinan Ramli MS. Menyanyikan lagu secara orkestra bagi Siti lebih sukar kerana perlu fokus.

“Apapun Siti tak harapkan kemenangan. Bagaimanapun sama-sama berdoa agar kesihatan baik supaya dapat melaksanakan tanggungjawab yang diberikan penggubah lagu dengan baik.

“Mengenai album baru, Siti baru 80 peratus selesai rakaman suara dan nampaknya tak dapatlah lancarkan album baru pada hari lahir Siti 11 Januari, sehari sebelum pertandingan itu diadakan. Mungkin kita anjakkan ke bulan Februari,” katanya.

Tambahnya lagi, dia tidak sabar menantikan kemunculan album pop keenamnya selepas melahirkan album pop Jerat Percintaan, Aku Cinta Padamu, Pancawarna, Adiwarna dan Safa, kerana menyifatkan album ini penuh kelainan.

“Siti memang tak sabar-sabar nantikan kemunculan album ini kerana ia cukup berlainan dari album lepas dari segi susunan muziknya dan penyampaian Siti. Ia juga boleh disifatkan kematangan Siti dalam arena seni suara apabila diberi kepercayaan menghasilkan tiga lirik salah satunya, Bukan Cinta Biasa.

“Siti yakin album ini lebih berkualiti dan mampu memenuhi kehendak peminat kerana menyediakan pelbagai genre muzik seperti pop R&B dan paling ketara sekali ‘track’ lagu rancaknya disusun lebih kemas dan ‘catchy’.

“Terima kasih pada komposer antaranya, Ajai, Lukman S dan Azmeer kerana sudi memberi lagu yang bagus untuk album kali ini. Malah, berharap peminat juga menyukainya. Selain mereka, Siti juga terharu apabila komposer terkenal Indonesia, Dewiq sudi menghasilkan sebuah indah lagu buat Siti,” katanya lagi.

http://www.emedia.com.my/

Leave a Reply