JIMMY CHOO PELAWA SITI KE LONDON PILIH KASUT.
“
PEREKA kasut terkemuka, Prof Datuk Jimmy Choo, berminat mereka cipta kasut untuk Siti Nurhaliza malah mempelawa Penyanyi Wanita Popular 2002 itu ke London untuk mencuba beberapa pasang kasut yang dipamerkan di butiknya.
Siti berkata, Jimmy mengundangnya ke London sekiranya ada kelapangan untuk melihat sendiri hasil rekaannya, sekali gus menempah kasut yang eksklusif.
“Sebelum ini Siti tidak pernah jumpa Datuk Jimmy. Namun ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia dari Jepun, baru-baru ini, Siti akhirnya bertemu beliau dalam pesawat. Salah seorang pramugara memberitahu Datuk turut berada dalam penerbangan itu.
“Lalu Siti terus pergi menemui Datuk. Sewaktu kami rancak bersembang, Datuk sempat menunjukkan Siti kasut yang pernah direkanya untuk Puteri Diana,†kata Siti.
Siti berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa SRC dan pelancaran album raya terbaru, Fiesta Aidilfitri di Kayangan Ballroom, Hotel Impiana, Kuala Lumpur, kelmarin.
Jimmy turut hadir sebagai tetamu VIP di majlis berkenaan. Hadir sama Pengarah Urusan Suria Records Sdn Bhd (SRC), Tan Su Loke.
“Siti rasa cukup berbesar hati apabila Datuk sudi melapangkan masa menghadiri majlis ini,†kata Siti.
Terdahulu, Siti memberitahu beliau baru pulang ke tanah air selepas menjayakan ABU Concert sempena penganjuran Asia Pacific Broadcasting Union di Tokyo, Jepun pada 6 hingga 10 November lalu.
“Pada pertunjukan itu, Siti membuat persembahan bersama lima artis Asia lain. Salah seorang daripadanya ialah Hayumi Mayasaki dari Jepun.
“Siti pula berpeluang mendendangkan lagu Percayalah,†kata Siti yang sempat melawat Disneyland Tokyo sekalipun sedang menjalani ibadat puasa di negara itu dalam suasana cuaca sejuk.
Terbaru, Siti akan berduet dengan ‘sifu’ M Nasir menerusi lagu Dua Insan apabila menjayakan program raya, Ole-Ole Siti Nurhaliza yang akan disiarkan di TV3 pada raya pertama bermula jam 2 hingga 3 petang.
“Selain itu, Siti juga akan masuk studio rakaman untuk menghasilkan album pop terbaru bermula 18 hingga 30 November ini. Antara penerbit yang terbabit kali ini ialah Ajai, Zuraini, Helen Yap dan Aubrey Suwito. Abang Ajai juga sudah suruh Siti menulis lirik sendiri,†kata Siti yang akan memberi tumpuan kepada Juara Lagu 2002 selepas musim Aidilfitri nanti.
Sementara itu, Fiesta Aidilfitri memuatkan empat lagu baru iaitu Air Mata Syawal nyanyian Siti Nurhaliza, Tibanya Syawal Bahagia (Liza Hanim), Di Hari Raya (New Boyz) dan Bila Takbir Bergema (Anis Suraya).
Lagu lain yang turut menjadi pilihan ialah Nikmat Hari Raya, Aidilfitri Di Alaf Baru, Halal Bihalal, Cahaya Aidilfitri, Miskin Kaya, Suasana Hari Raya, Musaffir Di Aidilfitri dan Nazam Lebaran.
Album yang diedarkan dalam bentuk kaset, CD dan VCD itu berada di pasaran sejak 4 November lalu. Empat penerbit terkenal bertanggungjawab menghasilkan album ini iaitu Pak Ngah, Eddie Marzuki, Lan Laga dan S Atan.
Jimmy turut diberi penghormatan bersama artis SRC melancarkan album berkenaan secara simbolik iaitu dikeluarkan dari dalam kek hari raya. Siti, Liza Hanim, New Boyz dan Anis Suraya turut membuat persembahan menghiburkan tetamu yang diselang seli dengan cabutan nombor bertuah.
Berita Harian
“