RSS Feed
Featuring the latest scandals, gossip, and entertainment news.


Siti Nurhaliza bangga jadi model wiper kereta.



PENYANYI pujaan ramai Siti Nurhaliza memberitahu bahawa dia mempunyai alasan yang cukup murni apabila mengambil keputusan untuk menerima tawaran sebagai model wiper kereta.

Kata penyanyi itu juga, dia tidak pernah berasa kecil hati apabila ada pihak mempertikaikan tindakannya mempromosikan wiper kereta.

“Apa yang Siti ingin tegaskan di sini ialah niat Siti baik apabila mengambil bahagian dalam iklan tersebut. Wiper itu buatan sebuah syarikat pembuatan terkemuka di Jepun.

“Siti sebenarnya berbangga kerana menjadi artis Malaysia yang terpilih sebagai model untuk syarikat Jepun. Siti harap semua orang akan memahaminya,” cerita Siti.

Kata Siti, dia mempercayai tindakannya menjadi model wiper kereta langsung tidak menjejaskan popularitinya sebagai bintang seni suara.

Penyanyi itu baru-baru ini tersenarai dalam Malaysia Book of Records sebagai artis yang paling banyak menerima anugerah.

Selama empat tahun pembabitannya dalam dunia hiburan dia telah berjaya menerima lebih 45 anugerah daripada dalam dan luar negara.

Kata Siti, dia cukup berbangga dengan pengiktirafan itu.

Pada masa ini dia sedang bertungkus-lumus membuat persiapan akhir bagi konsert terbarunya iaitu Konsert Mega Bukit Jalil Siti Nurhaliza di Stadium Bukit Jalil pada 30 Jun ini.

Ini merupakan konsert solo kedua Siti dalam kariernya. Kata Siti, dia giat menjalankan latihan untuk memastikan konsert itu memuaskan hati para peminatnya.

Apa yang pasti dia sudah bersedia membuat kejutan.

“Pagi, Siti berlatih dari pukul 9 pagi hingga 12.30 tengah hari. Malam pula dari pukul 8 malam hingga 12 malam.

“Untuk mengekalkan kecergasan, Siti mengambil multivitamin. Walau apa pun Siti kena mendapat tidur yang cukup,” akuinya.

Siti menjanjikan banyak pembaharuan untuk konsert tersebut supaya peminatnya berpuas hati.

“Siti gementar juga walaupun ini kali kedua Siti membuat persembahan di situ. Siti akan cuba berikan yang terbaik untuk peminat,” katanya.

Demi kepuasan peminat-peminat, pihak penganjur iaitu Perbadanan Stadium Merdeka memperuntukkan hampir RM500,000 untuk keperluan teknikal dan peralatan pentas konsert itu.

“Kami akan menitik-beratkan aspek teknikal termasuk sistem bunyi bagi memastikan keberkesanan konsert itu kelak,” kata Pengurus Perbadanan Stadium Merdeka, Abu Bakar Kassim.

Untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingini, kata Abu Bakar, pihak penganjur menyediakan para pengawal keselamatan yang secukupnya.

Berbeza dengan konsert Siti sebelum ini, pentas akan dibina di tengah-tengah arena untuk memberi peluang kepada lebih ramai peminat menyaksikan Siti.

“Itu juga satu cabaran baru untuk Siti sebenarnya kerana Siti harus belajar memberi persembahan yang baik daripada pelbagai sudut,” kata Siti.

Mereka yang menyaksikan konsert itu nanti bukan saja berkesempatan berhibur dengan penyanyi kesukaan ramai itu tetapi juga berpeluang memiliki sebuah kereta Opel model Zafira yang bernilai RM134,000.

Hadiah itu adalah hadiah utama cabutan bertuah yang akan dibuat pada malam konsert tersebut.

Majlis penyerahan kunci kereta itu dilakukan oleh Pengerusi Europel Sdn. Bhd., Datuk Dr. Mat Nor Ismail kepada Perbadanan Stadium Merdeka baru-baru ini.

Tempahan tiket untuk konsert Siti Nurhaliza yang menelan kos lebih RM1 juta itu masih dibuka di kaunter-kaunter terpilih dan talian hotline 03-7053000.

http://www.utusan.com.my/

Leave a Reply